Bina kemampuan jadi pembangkang konstruktif

Bina kemampuan jadi pembangkang konstruktif

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

5 SOALAN

MUKADIMAH

MENJADI pembangkang yang konstruktif bagi membina keyakinan rakyat antara cabaran kepemimpinan baharu Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) untuk penggal 2023-2025.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS, Ketua Pemuda Pas yang baharu iaitu AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN menyatakan tanggungjawab itu dan mahu mengekalkan momentum sokongan kepada parti bukan tugas mudah.

UTUSAN: Adakah lebih mencabar berbanding Ketua Pemuda sebelum ini?
AFNAN HAMIMI: Pas kini adalah pembangkang. Jadi, kita hendak jadi pembangkang yang konstruktif, iaitu pembangkang yang memberikan solusi kepada apa-apa isu yang dibangkitkan.

Bagaimana perancangannya, adakah ia akan melibatkan kesemua anggota Pemuda Pas?
Saya hendak ahli Pemuda menyesuaikan diri dengan keadaan semasa iaitu mereka boleh bercakap mengenai pelbagai isu dalam dan luar negara. Bukan sekadar hanya tahu isu dalam parti.

Selain menjadi konstruktif, apakah tumpuan yang perlu diberikan kepada Pemuda untuk berdepan pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil Kemaman?
Untuk kepemimpinan kali ini, tumpuan Pemuda lebih kepada untuk melahirkan pelapis yang lebih segar bagi mengisi kemenangan di empat buah negeri tersebut dan juga persediaan awal menghadapi pilihan raya akan datang. Kita hendak pastikan pengundi Pas, terutama pengundi muda terus kekal mengundi parti ini.

Adakah kepemimpinan baharu akan menggunakan cara yang berbeza?
Saya dan bekas Ketua Pemuda, Ahmad Fadhli Shaari mempunyai cara yang tersendiri bagi memimpin Pemuda Pas. Saya lebih suka jadi diri sendiri sambil dibantu ahli jawatankuasa yang baharu. Namun seperti Ahmad Fadhli, saya seorang yang terbuka sekiranya ada pihak luar ingin menyumbang buah fikiran untuk kebaikan dan manfaat Pemuda Pas.

Memegang jawatan ketua pemuda atau kepemimpinan dalam parti pasti berdepan tanggungjawab besar dengan pelbagai cabaran, bagaimana ia dapat ditangani dengan berkesan?
Dalam Pas, memegang satu jawatan besar merupakan satu tanggungjawab dan kami diajar oleh kepemimpinan parti supaya tidak mengejar jawatan. Saya akan cuba memikulnya dengan sebaik mungkin bagi kebaikan Pemuda Pas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN