PIDM anjur NRS, himpun pakar kawal selia pelbagai negara

PIDM anjur NRS, himpun pakar kawal selia pelbagai negara

Rafiz Azuan Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) menganjurkan Simposium Resolusi Kebangsaan (NRS) buat julung kali bagi menghimpunkan pakar kawal selia dan pengamal dari pelbagai negara.

Simposium itu membolehkan mereka berkongsi dan bertukar pandangan dalam mengurus atau menyelesaikan kegagalan institusi kewangan, dan bagaimana mengharungi ketidakpastian.

NRS dihadiri oleh 300 pemimpin pengurusan kanan daripada pelbagai institusi kewangan di Malaysia.

NRS menekankan kepentingan perancangan resolusi ketika beroperasi seperti biasa (keadaan baik) untuk memastikan pelaksanaan resolusi yang teratur, dapat meminimumkan kos dan gangguan, serta mampu menguruskan institusi ahli yang bermasalah dengan efektif.

Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah berkata, kegagalan institusi kewangan baru-baru ini dan pada masa lalu menekankan keperluan perancangan strategik untuk mengharungi ketidakpastian dengan efektif.

“PIDM sebagai pihak berkuasa resolusi berperanan penting dalam menangani kegagalan institusi ahli kami dengan pantas dan memastikan kestabilan sistem kewangan,” kata dalam kenyataan.

Beliau turut menekankan bahawa ini adalah masa yang tepat untuk membincangkan strategi pengurusan krisis, kerana merangka pelan yang sesuai ketika krisis adalah lebih mencabar.

Beliau berkata, apabila perancangan resolusi dilakukan lebih awal, pihak berkuasa resolusi mempunyai lebih banyak pilihan, termasuk mewujudkan bank pengantara (bridge bank), serta permodalan dan penstrukturan semula.

“Dengan menyesuaikan strategi pengurusan krisis melalui perancangan resolusi khusus kepada sesebuah entiti dan keadaannya yang unik, kami meningkatkan keupayaan kami untuk mengambil tindakan muktamad dan meminimumkan risiko penularan kepada ekosistem kewangan yang lebih luas,” katanya.

PIDM sebagai pihak berkuasa resolusi bagi institusi ahlinya bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan untuk membentuk jaringan keselamatan kewangan yang kukuh.

PIDM telah menerbitkan 25 kajian kes yang menawarkan pandangan yang bernilai daripada pengalaman global dalam pelaksanaan resolusi ke atas bank-bank dan syarikat insurans yang bermasalah.

Kajian menjelaskan konteks dan faktor risiko yang menyumbang kepada kegagalan beberapa institusi kewangan serta pengajaran utama, termasuk kes Silicon Valley Bank di Amerika Syarikat baru-baru ini dan institusi lain dari rantau Asia Pasifik dan Eropah.

Pada September 2023, PIDM telah mengeluarkan Garis Panduan Perancangan Resolusi bagi Anggota Penerima Deposit, yang menggariskan objektif, pendekatan dan keperluan untuk perancangan resolusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×