PETALING JAYA: UOB Malaysia melancarkan Jom Transform – Sustainability Accelerator Programme (JT-SAP), bagi memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pengetahuan asas dan kepakaran dalam menerima pakai amalan mampan di samping mempercepatkan peralihan mereka kepada ekonomi rendah karbon.
JT-SAP yang julung kali diadakan ini menyaksikan penyertaan daripada lebih 150 PKS dan persatuan industri dalam bengkel yang berlangsung selama tiga hari.
Para peserta akan memperoleh pengetahuan tentang kajian kes antarabangsa, trend utama, penyelesaian dan pandangan tentang kemampanan bagi membantu perniagaan pada masa hadapan selain meningkatkan daya saing mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, PKS membentuk kira-kira 98 peratus perniagaan di negara ini, justeru penting untuk mereka menyertai perjalanan kemampanan bagi Malaysia menuju matlamat sifar bersih.
“Kami berbangga melancarkan program ini selepas UOB menjalankan Kajian Tinjauan Perniagaan pada Januari 2023. Kajian ini meliputi 528 pemilik perniagaan dan eksekutif utama daripada PKS dan Perusahaan Besar di Malaysia.
“Melengkapkan PKS dengan pengetahuan dan kaedah yang sesuai bagi memudahkan peralihan mereka. Dengan menerima amalan hijau, PKS dapat mengurus risiko perniagaan dan juga memanfaatkan peluang kemampanan bagi memperoleh kelebihan daya saing,” katanya dalam kenyataan.
JT-SAP memanfaatkan Rangka Kerja 3E (Evaluate, Engage, and Execute) yang komprehensif untuk membolehkan perniagaan mempercepatkan perjalanan kemampanan mereka melalui cara yang pragmatik.
Program ini disampaikan dengan kerjasama rakan kongsi yang sehaluan, termasuk Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), Pasaran Modal Malaysia (CMM), PricewaterhouseCoopers Malaysia (PwC), Green Real Estate (GreenRE), dan Thoughts In Gear (TIG).
UOB Malaysia turut melancarkan UOB Sustainability Compass semasa program JT-SAP bagi membantu PKS tempatan mengatasi kelembapan dan memulakan usaha kemampanan mereka.
Dilancarkan buat pertama kali di Singapura pada tahun lepas, UOB Sustainability Compass melanjutkan langkah “memudahkan pembiayaan mampan” dengan menyediakan laporan tersuai kepada perniagaan berdasarkan sektor dan kesediaan kemampanan mereka.
Dibangunkan dengan PwC, laporan UOB Sustainability Compass membimbing PKS melalui pelan hala tuju yang mengenal pasti fasa berbeza menuju ke arah kemampanan.
Selain mendapat bimbingan tentang peraturan, piawaian dan pensijilan yang mempengaruhi sektor mereka, penyelesaian pembiayaan mampan juga dicadangkan bagi membantu memulakan inisiatif kemampanan. – UTUSAN










