Siapa ketuai Pemuda Pas?

Siapa ketuai Pemuda Pas?

(DARI KIRI) Afnan Hamimi Taib Azamudden, Mohd. Hafez Sabri dan Mohd. Syahir Che Sulaiman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden antara individu yang layak menerajui Ketua Dewan Pemuda Pas dalam pemilihan kepemimpinan baharu sayap tersebut esok.

Selain Afnan Hamidi, terdapat beberapa nama antaranya Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas, Mohd. Hafez Sabri dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman juga dilihat sesuai mengalas tugas sebagai Ketua Pemuda Pas bagi menggantikan Ahmad Fadhli Shaari yang mengesahkan tidak mempertahan jawatan tersebut.

Nama Afnan Hamimi perlu diambil kira kerana kedudukannya selaku Timbalan Ketua Pemuda Pas dan secara tradi­sinya orang nombor kedua diberi laluan mengetuai sayap itu seperti mana Ahmad Fadhli yang pernah mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin ketika pemilihan 2021.

Memuatkan artikel berkaitan…

PERTAHAN

Malah beliau mengesahkan tidak akan mempertahan jawatan Timbalan Ketua Pemuda Pas dalam pemilihan parti sesi 2023-2025.

Bagaimanapun, Afnan Hamimi ketika ditanya sama ada beliau satu-satunya calon Ketua Pemuda Pas, Ahli Parlimen Alor Setar itu enggan mengulas lanjut dan meminta semua pihak tunggu pengumuman malam esok.

“Kena tunggu pengumuman Jawatankuasa Pemilihan. Mereka lebih berautoriti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun Mohd. Hafez dan Mohd. Syahir turut dilihat sesuai kerana masing-masing mempunyai pengalaman dalam parti dan kedudukan masing-masing sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di samping lantang bersuara dalam isu-isu nasional.

Bagaimanapun, nama Mohd. Syahir yang pernah berdebat dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Ogos lalu tidak berada dalam Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas sesi 2021-2023 sekali gus agak mustahil diberikan laluan sebagai Ketua Pemuda yang baharu.

SAINGAN

Memandangkan Ketua Pemuda Pas bakal berdepan saingan pihak lawan seperti Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh dan Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim, justeru calon itu perlu setanding dan mampu menjuarai isu-isu nasional dan antarabangsa, jika Pas mahu menambat hati pengundi muda termasuk bukan Melayu.

Selain Ketua Pemuda, pemilihan kali ini menyaksikan kekosongan Timbalan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda setelah kedua-dua penyandang iaitu Afnan Hamimi dan Hanafi Zulkapli tidak akan mempertahankan kedudukan.

Meskipun terdapat tiga kekosongan, pemilihan semua jawatan tertinggi sayap Pas itu bakal menyaksikan tiada pertandingan apabila masing-masing hanya terdapat satu pencalonan dan sekali gus nama calon dikemukakan menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun individu yang bakal mengisi kekosongan jawatan ditinggalkan Ahmad Fadhli menjadi tanda tanya apabila semua pihak enggan mendedahkan calon yang bakal menggantikannya.

Oleh demikian, siapa muka baharu yang bakal menerajui Dewan Pemuda Pas hanya bakal terjawab dalam sidang media pengenalan kepimpinan baharu sayap itu pada malam esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini