AmBank, Avaland jalin kerjasama pembiayaan hijau

AmBank, Avaland jalin kerjasama pembiayaan hijau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AmBank menandatangani kemudahan pembiayaan hijau bersama Avaland yang bernilai RM129.8 juta untuk fasa pertama pembangunan mampan terbaharunya, 2Fifth Avenue – pelan induk berinspirasikan hijau di Subang Jaya.

Perkongsian strategik itu menekankan dedikasi AmBank yang tidak berbelah bahagi kepada tanggungjawab alam sekitar dan kemajuan komuniti yang mampan selain pengesahan pencapaian hijau awal Avaland untuk Alora Residences yang memperoleh pensijilan GreenRE Gold baru-baru ini serta reka bentuk dan rancangan mampan untuk 2Fifth Avenue.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, pihaknya percaya dengan kuasa perbankan yang bertanggungjawab untuk mencipta impak positif yang berkekalan.

“Dengan merapatkan bidang pembiayaan dan kemampanan, kita boleh membina komuniti yang bukan sahaja memenuhi keperluan masa kini tetapi juga memelihara kecergasan planet kita untuk generasi akan datang.

“Kerjasama ini adalah bukti kepercayaan kami terhadap visi mereka dan satu langkah penting ke arah merealisasikan komuniti yang lebih hijau dan mampan di Subang Jaya,” katanya dalam majlis pertukaran dokumen kerjasama pembiayaan hijau antara AmBank dan Avaland, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Avaland, Teh Heng Chong berkata, pihaknya berbangga untuk bekerjasama dengan AmBank untuk pelan induk 2Fifth Avenue dengan dengan konsep berinspirasikan hijau, Sslaras dengan pelancaran Pelan Hala Tuju Kelestarian syarikat.

“Ia merupakan pembangunan bercampur yang terdiri daripada apartmen servis, runcit dan komponen pejabat.

“Dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM3 bilion, bandar hijau ini akan menjadi penyumbang utama kepada rancangan pertumbuhan Avaland dalam tempoh 10 tahun akan datang,” ujarnya.

Jelas beliau, Avaland juga sedang berbincang untuk bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mengguna pakai rizab hijau seluas enam ekar untuk ditukar menjadi taman linear komuniti di 2Fifth Avenue yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat Subang.

“2Fifth Avenue akan menjadi sebuah tempat di mana orang ramai boleh tinggal, bekerja dan bermain secara mampan. Sebagai tumpuan utama untuk meningkatkan kesejahteraan dan gaya hidup masyarakat, 20 peratus daripada tapak pembangunan didedikasikan sebagai ruang hijau supaya penduduk dapat beristirehat di tengah-tengah persekitaran yang subur.

“Kami akan mencipta beberapa poket hijau berlapis dengan spesies tumbuhan hutan hujan dalam pelan induk ke arah mewujudkan ekosistem pelbagai yang membantu dalam mengurangkan pelepasan karbon,” ujarnya.

Kerjasama dengan Avaland adalah sebahagian daripada komitmen AmBank yang lebih luas untuk menyepadukan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus ke dalam amalan perniagaannya.

Dengan memperuntukkan dana kepada pembiayaan hijau, AmBank menyasarkan menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×