Allahyarham tidak sabar tamat kursus

‘Allahyarham tidak sabar tamat kursus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: Minat begitu mendalam terhadap bidang ketentera­an menyebabkan Allahyarham Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar, 24, tidak sabar untuk menamatkan kursus tempur pegawai muda yang dijangka tamat latihan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA), Kota Tinggi, Johor pada Januari depan.

Malah, anak kedua daripada lima beradik itu pernah disenarai pendek tiga terbaik daripada ratusan calon untuk menjalani latihan dengan Tentera Udara Amerika Syarikat.

Bapanya, Iskandar Mohammed Nordin,50, berkata, Allahyarham pernah menyatakan hasrat tidak sabar untuk menamatkan latihan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, minat Allahyarham dalam bidang ketenteraan bermula ketika bersekolah di Maktab Tentera Diraja.

“Malah, dia sanggup menolak biasiswa kerana ingin menyam­bung pelajaran di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Allahyarham seorang anak yang bijak, selalu mendapat keputusan cemerlang.

“Sepatutnya, selepas kursus ini tamat Januari depan, Allahyarham perlu menjalani Pegawai Muda Kor Risik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Bandar Tasik Puteri di sini semalam.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, Allahyarham sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Mei depan malah semua kelengkapan untuk majlis perkahwinan itu sudah disiapkan termasuk tempahan dewan.

Jelasnya, sebelum ini, Allahyarham ada menghantar mesej di kumpulan WhatsApp keluarga kami memaklumkan dia mahu pulang ke rumah pada Jumaat ini, namun tiada mesej dihantar selepas itu.

“Kira-kira pukul 1 pagi, saya menerima panggilan telefon daripada pegawainya yang memaklumkan Emil ditempatkan di Hospital Sultan Ismail (HSI) sebelum bergegas ke sana.

“Kami sempat melihat dia sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di hospital berkenaan,” katanya.

Emil Syahid disahkan me­ninggal dunia pada pukul 11.10 malam kelmarin ketika menerima rawatan di HSI, Johor Bharu, Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata, Allahyarham Emil Syahid antara 10 pegawai muda dikejarkan ke HSI selepas mengalami simptom strok haba.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×