ESG: Perlu ada dimensi kelestarian bangunan

ESG: Perlu ada dimensi kelestarian bangunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA tahun kebelakangan ini, topik alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) banyak diperbahaskan dan menjadi semakin penting untuk perniagaan termasuk sektor hartanah.

Pandemik global yang belum pernah berlaku sebelum ini ditambah dengan kejadian banjir dan tanah runtuh yang besar telah menyumbang kepada mendorong agenda ESG dalam syarikat-syarikat dalam dan luar negara bagi mengutamanya prinsip kelestarian di dalam operasinya.

Menurut laporan status global untuk bangunan dan pembinaan 2019 oleh International Energy Agency, kira-kira 39 peratus daripada jumlah pelepasan global dikaitkan dengan pembangunan hartanah.

Daripada jumlah tersebut, 11 peratus daripada pelepasan ini dijana oleh bahan pembuatan yang digunakan dalam bangunan, manakala selebihnya dikeluarkan daripada bangunan itu sendiri dan tenaga yang diperlukan untuk menggerakkannya.

Mohamad Fakri Zaky Ja’afar

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Jabatan Senibina Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohamad Fakri Zaky Ja’afar berkata, ESG secara relatifnya masih baharu sama ada di peringkat global dan juga di negara ini.

Katanya, sektor hartanah pejabat dilihat telah memulakan langkah menerapkan ESG di dalam operasi mereka.

“Produk bagi sektor hartanah adalah bangunan. Oleh itu, bila kita berbicara tentang ESG bagi hartanah perlu ada dimensi kelestarian bangunan.

“Sistem penarafan bangunan hijau merupakan satu komponen yang penting di dalam sektor hartanah bagi mengukur tahap kemampanannya terhadap alam sekitar,” katanya di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata, penarafan sistem bangunan hijau yang telah agak lama diamalkan di negara ini menyediakan asas yang baik untuk ESG bagi sektor pembangunan hartanah.

Menurutnya, bersandarkan undang-undang sedia ada pula, garis panduan atau asas kukuh untuk ESG ini boleh berpandukan pada Akta Buruh, Akta Alam Sekitar dan sebagainya.

“Pada 2016, Bursa Malaysia telah mewajibkan pelaporan ESG untuk semua syarikat yang yang disenaraikannya. Buat masa ini, pematuhan masih lagi berbentuk kerangka pelaporan dalam sektor hartanah.

“Namun, lebih baik sekiranya ianya dimandatkan menjadi undang-undang atau mengadakan garis panduan yang perlu dipatuhi sebagai syarat kelulusan bangunan.

“Sekiranya tidak dikelola dengan betul, ia boleh menjadi sekadar ‘whitewashing’ atau ‘greenwashing’ sahaja,” ujarnya.

Tambanya, proses penambahbaikan berterusan perlu sentiasa ada untuk memastikan garis panduan ini benar-benar membantu sektor pembangunan menjadi sektor yang lestari.

“Satu lagi, perlu ada penyesuaian dengan negara kita, kerana terdapat unsur-unsur dalam ESG yang mungkin tidak selari dengan nilai-nilai dan konteks watan.

“Pengajaran dari pengalaman amalan ESG di negara-negara maju perlu dijadikan teladan untuk menangani masalah atau isu yang mungkin akan timbul,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×