KETIKA sesi fotografi ini dijalankan, sesekali penyanyi ini kelihatan begitu kekok untuk beraksi dan bergaya di hadapan kamera, seakan bimbang kalau-kalau gayanya kelihatan seksi.
Hairan juga kerana lazimnya sebagai seorang artis atau selebriti, seharusnya Bunga Isme perlu tahu bagaimana untuk bergaya meskipun tidak menggalas kerjaya sebagai seorang peragawati.
Lalu, ketika duduk menemu bual penyanyi rap berhijab ini, sengaja dilayangkan pertanyaan, adakah Bunga kini terlalu berhati-hati untuk beraksi berlebihan hanya kerana tidak lama lagi bakal bergelar isteri orang?
Tebakan pertanyaan itu kemudiannya disambut dengan tawa kecil Bunga sambil beralas jawapan lain.
“Bukan sebab nak kahwin. Sebenarnya, dulu saya agak kurus berbanding sekarang dah berisi sikit. Saya jadi malu kerana kebelakangan ini ramai yang tegur saya nampak gemuk. Hal itu membuatkan saya diselubungi perasaan insecurity (kurang percaya diri).
“Kalau orang lain yang tegur atau cakap mengenai berat badan saya, mungkin tak terasa sangat. Tetapi apa yang membuatkan rasa ini berbekas di hati kerana kata-kata itu datangnya dari kalangan orang terdekat saya, macam kawan-kawan dan keluarga sendiri.
“Sejujurnya saya rasa sedih juga sebab orang sentiasa saja tak puas hati. Gemuk salah, kurus salah. Kalau boleh, memang nak buat tak tahu saja, tetapi saya pun manusia biasa, adakala akan memikirkan kata-kata orang itu,”katanya.
Kongsi Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari, dek dipenuhi dengan perasaan insecurity tu, ia juga menjadi penyebab mengapa dia sudah tidak begitu berminat untuk sering bergambar atau berswafoto.
“Sebelum ini, saya biasa juga dengar ada rakan-rakan artis terpalit dengan isu body shaming. Tak sangka saya pun terkena juga. Lebih ‘sakit’ adalah bagaimana kita nak abaikan kata-kata itu dari orang terdekat sendiri?
“Kadangkala memang risau nak bergambar kerana benda beginilah. Takut terseksikah, nampak keterlaluankah. Semua itu membuatkan saya jadi was-was dan tak percaya diri. Dulu pun pernah saya terpalit dengan isu bergambar nampak leher dan dikecam ramai.
“Sebab itu saya nak jaga, tak naklah ada isu. Biarlah siapa yang tahu diri saya macam mana, dia tahulah,”katanya.

Jadi kahwin atau tidak?
Tidak menceritakan secara terperinci mengenai kisah bagaimana dirinya telah dirisik kekasih hati, seorang komposer bernama Amzar Sabri, 27, penyanyi lagu Belai dan Buai ini bagaimanapun mengakui majlis merisik itu berlaku sekitar Februari lalu.
Pun begitu, kata Bunga, sudah dirisik tidak bermakna dirinya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Malah, secara bersahaja, dia memberitahu bahawa perkara baik itu tidak mungkin akan berlaku dalam masa terdekat.
Bunga berpendapat, perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum sementelah dia juga mengambil iktibar daripada kesilapan lalu di mana, suatu ketika dahulu, dirinya terlalu ghairah mahu bercerita semua perkara kepada umum.
“Dulu saya sudah terlalu banyak mendedahkan diri. Masa mula-mula masuk industri seni, saya umum sudah ada teman lelaki, semua benda nak kongsikan.Tapi sekarang bila sudah makin dewasa, ada rasa tanggungjawab untuk tak patut buka semua cerita.
“Saya belajar untuk tidak mencampur aduk antara kerjaya dan hal peribadi. Saya baru faham bila lagi banyak kita sebagai artis ini kongsikan hal peribadi, lagi banyak orang akan bercakap dan menilai diri kita.
“Kenapa nak kahwin dengan lelaki itu? Lelaki itu okey ke? Dia itu kerja apa? Dia dulu ada kisah lama itu dan ini. Macam-macamlah orang nak cakap dan semuanya bagaikan tidak kena,”katanya.
Jelas Bunga, dia berpandangan, perkahwinan itu merupakan sesuatu yang sangat indah dan suci dan dia sendiri melihat bagaimana ramai kalangan selebriti lain yang mudah dikecam hanya kerana tidak memuat naik gambar bersama pasangan, misalnya.
Mengakui tidak trauma dengan pelbagai kisah rumah tangga segelintir artis yang menjadi bahan sorotan media dan netizen, kata Bunga, dia sedar setiap perkahwinan akan ada cabarannya.
Malah, dia percaya, jika bercakap mengenai perkahwinan, masih wujud pandangan bahawa perkahwinan adalah penanda aras kejayaan seorang wanita.
“Saya tak setuju dengan pandangan seperti itu. Kisah itu belum pun bermula, kita belum boleh beritahu yang ia adalah satu kejayaan. Kahwin ini adalah satu pembuka fasa yang baharu dan kita tidak akan menjadi individu yang sama lagi macam dulu.
“Tak boleh berkelakuan macam orang single, pendek kata banyak yang perlu dijaga dan ada batasnya. Saya sendiri pun masih ada cita-cita yang belum digapai, nak melancong dan melihat dunia. Saya ada kawan-kawan yang kahwin muda namun suami pula tak bagi itu dan ini, perkara macam itu jadi tak ‘fun’.
“Bukanlah saya kata diri ini asyik nak berseronok saja, Amzar pun seorang yang ‘fun’.Tapi, kita tahu diri kita sendiri belum bersedia untuk bergelar suami isteri. Bayangkan, kalau masa bercinta, kita bolehlah nak lawan cakap.
“Kalau dah berkahwin, tak akan nak buat begitu? Kena tahu tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Saya ini pun, adakala masih nakal dan degil dengan ibu ayah. Kalau boleh saya mahu perbaiki diri sendiri dahulu,”katanya.

Usia bukan penghalang
Berkongsi lanjut, Bunga berkata, usia bukanlah halangan utama untuk dirinya mendirikan rumah tangga. Ada perkara lebih penting yang perlu difokuskan meskipun klise untuk diperkatakan.
“Saya berusia 23 tahun dan baharu sahaja nak meneroka peluang lebih besar dalam kerjaya seni muzik. Saya baru habis menamatkan program ijazah sarjana, kemudian nak fokus dengan penglibatan sebagai penyanyi undangan untuk konsert Coldplay, November ini, lepas itu nak terbitkan album.
“Bayangkan kalau saya kahwin sekarang? Okey, kahwin, lepas itu apa? Saya kenal Amzar, kami sama-sama terlibat dalam bidang muzik. Saya dan dia serius dalam hubungan ini, keluarga pun tahu.
“Tetapi kami pun tak mahu kahwin terburu-buru. Banyak yang perlu difikirkan dan perjalanannya masih jauh lagi,apatah lagi jika sudah bergelar suami dan isteri,”katanya.
Dalam pada itu, Bunga mengakui, bersyukur dipertemukan dengan Amzar kerana lelaki tersebut adalah individu penting yang banyak membimbingnya mengenai selok belok dunia seni hiburan arus perdana.
Katanya, jika tidak, mungkin sebagai orang baharu dalam industri, dia berpotensi untuk dimanipulasi atau bahkan terjebak dengan sisi gelap dunia glamor.
“Bagusnya Amzar ini, dia yang banyak bimbing saya dalam industri. Kalau tak, entah-entah saya ini mungkin jadi mangsa tipu orang-orang tak bertanggungjawab yang wujud. Sebab saya pun ada kawan-kawan artis yang bergerak sama dengan saya, pernah kena tipu.
“Contoh macam isu royalti dan sebagainya. Amzar sudah berpengalaman dalam bidang seni ini sejak lapan tahun bergelar anak seni. Dia sendiri pun pernah kena tipu dan dia tak mahu perkara serupa terjadi pada saya,”katanya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai pengalamannya sebagai seorang anak yang datangnya daripada sebuah keluarga yang pincang, kata Bunga, perceraian ibu dan bapanya merupakan satu pengajaran utama agar dia tidak mengulangi kesilapan serupa.
“Saya melalui pengalaman pahit itu di mana melihat sendiri bagaimana ibu bapa bercerai. Jadi kenangan zaman kanak-kanak saya tidak sepenuhnya manis. Seiring dewasa, saya pun tak nak perceraian menjadi ‘sumpahan’ kepada diri.
“Jadi, kalau saya nak kahwin, saya kena ubah pengalaman itu menjadi versi saya. Tiada apa yang diharapkan melainkan doa-doa yang baik daripada semua pihak,”katanya. – MINGGUAN MALAYSIA










