TUMPAT: Seorang gadis lulusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan) nekad untuk berniaga kuih tradisonal cek mek di Kampung Padang Rokma, di sini walaupun pernah disindir tidak sepadan dengan kelulusannya.
Manisha Juhari, 24, berkata, keputusan itu dibuat selepas kecewa apabila tempat dia bekerja terpaksa menutup operasi.
“Ditambah pula dengan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan walaupun mempunyai kelulusan tinggi.
“Oleh itu, saya mengambil keputusan menjual cek mek di hadapan rumah sejak Mac lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Manisha memberitahu, dia mengambil masa selama tiga tahun untuk mempelajari teknik mengadun cek mek dengan seorang penduduk kampung yang berpengalaman dalam pembuatan kuih.
Katanya, kuih cek mek jenis bulat dijual RM1 untuk lima biji manakala yang bentuk bujur RM1 untuk dua biji.
“Setiap hari sebanyak 35 kilogram cek mek dihasilkan dan habis dijual dalam masa satu jam bermula pukul 1.30 tengah hari.
“Setiap hari orang ramai akan beratur untuk membeli cek mek termasuk yang membuat tempahan paling banyak sebanyak RM100,” ujarnya.
Graduan Politeknik Shah Alam, Selangor itu menyasarkan untuk membuka dua lagi cawangan perniagaannya di Pasir Pekan dan bandar Tumpat pada tahun hadapan.
“Menjual kuih cek mek ini sekurang-kurangnya dapat membantu keluarga dan berharap akan terus mendapat sambutan ramai pelanggan.
“Pelanggan yang datang membeli kuih cek mek kebanyakan dari sekitar Kota Bharu,” katanya. –UTUSAN











