LENGGONG: Kira-kira 3,000 nelayan darat di seluruh Perak boleh menarik nafas lega apabila 172,500 ekor benih ikan dilepaskan di Sungai Perak.
Program pelepasan benih itu dilakukan di Jeti Nelayan Darat Kampung Luat di sini hari ini melibatkan ikan Lampam sebanyak 15,000 ekor, Baung (12,500 ekor), Terbul 50,000 ekor, Kerai (1,000 ekor), Temoleh (1,000 ekor) serta 93,000 ekor Udang Galah.
Pelepasan ke perairan umum di Sungai Perak itu dilakukan dalam majlis yang dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dengan nilai benih ikan dan udang tersebut sebanyak RM57,310.
Saarani berkata, program itu penting ekoran masalah pencemaran spesies ikan asing invasif yang membimbangkan selain merupakan usaha berterusan bagi mengekalkan sumber perikanan di sungai serta memulihara khazanah.
“Saya dimaklumkan mengenai peningkatan jumlah ikan asing invasif yang mengancam ekosistem semula jadi perairan sungai termasuk di negeri Perak.
“Jika sungai kita dipulihara dengan baik, maka ia mampu meningkatkan hasil pendapatan dan nilai sara diri termasuk kepada lebih 3,000 orang nelayan darat di seluruh negeri Perak,” katanya semasa berucap merasmikan majlis tersebut.
Kata menteri besar itu, antara spesies ikan asing invasif yang biasa dijumpai di perairan negeri Perak adalah ikan placo atau bandarraya, peacock bass serta udang kara air tawar.
Jelasnya, spesies ikan asing invasif mengancam populasi ikan asli kerana bersifat kewilayahan, mudah membiak dan bersifat pemangsa.
Program pelepasan benih ikan di perairan umum itu turut diadakan secara serentak di seluruh negara.
Dalam program sama, Saarani turut merasmikan pembukaan jeti baharu di situ sebagai menyelesaikan masalah masyarakat dan nelayan tempatan kerana ketiadaan kemudahan jeti pendaratan ikan yang selesa dan selamat.
Kos membina jeti tersebut ialah sebanyak RM258,000 menggunakan peruntukan kerajaan negeri. –UTUSAN











