‘Plandemik’ dan antivaksin? - Utusan Malaysia

‘Plandemik’ dan antivaksin?

Penggali kubur lengkap memakai PPE menanam mayat mangsa Covid-19 di Alto de Sao Joao di Lisbon, Portugal, baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di kala kerajaan berhempas pulas cuba mencari penyelesaian terbaik buat semua masyarakat dengan mencari vaksin untuk menghentikan pandemik Covid-19, wujud segelintir di celah-celah bencana ini yang cuba menangguk di air keruh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka menyebarkan info ‘separuh masak’ mengenai vaksin dan pandemik ini sehingga wujud kumpulan yang anti kepada vaksin dan menganggap semua ini adalah ‘pelan yang merupakan drama antarabangsa’.

Plandemik Untuk Melemahkan Umat Islam?

Antara lontaran mereka adalah mengatakan bahawa Covid-19 adalah ‘plandemik’ untuk melemahkan atau mengurangkan jumlah umat Islam.

Jika kita merujuk laman sesawang WorldOMeter ada mengira jumlah berkaitan kes Covid-19 di seluruh dunia.

Seandainya Covid-19 adalah satu ‘plandemik’ untuk melemahkan atau mengurangkan umat Islam, pasti kita akan dapat lihat negara-negara Islam menjadi negara-negara yang paling teruk terlibat dengan jangkitan dan kematian yang berkaitan Covid-19.

Namun begitu, laporan statistiknya kelihatan tidak sebegitu.

Statistik itu secara sendirinya menolak dakwaan yang mengatakan pandemik itu agenda melemahkan umat Islam.

Walhal antara keseluruhan, hanya Turki negara majoriti muslim yang tersenarai 10 negara teramai dijangkiti Covid-19 berbanding negara-negara majoriti bukan Islam.

 

Vaksin Agenda Yahudi/Barat Untuk Melemahkan Umat Islam?

Ini juga dakwaan popular yang sering dicanangkan. Seandainya vaksin adalah agenda Yahudi atau Israel untuk melemahkan umat Islam, bagaimana kita hendak jelaskan tindakan-tindakan Israel berhubung vaksin?

Agensi berita Reuters melaporkan pada 21 Januari 2021, Israel menimbangkan untuk turut melibatkan remaja berumur 12 tahun ke atas untuk turut sama divaksinkan.

Ini kerana mereka bimbang jika vaksin hanya melibatkan individu yang berumur 16 tahun ke atas, mereka tak akan mampu membentuk imuniti kelompok atau herd immunity.

Akhbar The Times of Israel bertarikh 5 Februari 2021 melaporkan Menteri Tenaga Israel, Yuval Steinitz begitu bersungguh-bersungguh hendak melaksanakan vaksinasi sehingga mengusulkan supaya digubal undang-undang untuk mewajibkan orang awam di Israel divaksinkan ataupun diambil tindakan undang-undang.

Al-Jazeera melaporkan pada 16 Februari 2021, kurang dua minggu lepas, Israel menyekat kemasukan 1,000 dos vaksin Covid-19, Sputnik V, daripada memasuki Gaza.

Secara tidak langsung laporan ini menafikan dakwaan yang mengatakan vaksin adalah agenda untuk melemahkan orang Islam.

Selain itu ada juga sebahagian penceramah, yang terpengaruh dengan teori konspirasi yang mana kemudiannya menjadikan mereka ini sebagai anti-vaksin. Antara hujah mereka adalah:

* WHO adalah ejen kepada Dajjal yang akan datang di akhir zaman

*Vaksin adalah alat yang akan dipergunakan oleh Dajjal untuk kawal minda manusia supaya mengakui bahawa diri adalah Tuhan kerana mengandungi nanocip tertentu.

Ini adalah dakwaan yang sangat berat (fitnah) dan memerlukan bukti kukuh untuk disabitkan. Jika dilihat sehingga hari ini golongan pentaksub teori konspirasi ini hanya sekadar mampu memberikan andaian dan anggapan tentang hubung kait yang bersifat simplistik.

Pesawat khas yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Februari lalu.– UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Misalnya, pesawat yang membawa vaksin ada tulisan OneWorld maka ada kaitan dengan illuminati dan seterusnya Dajjal.

Begitu juga tafsiran-tafsiran mereka yang sangat pelik terhadap hadis-hadis yang bercakap tentang akhir zaman (fitan) yang tidak mengikuti lunas-lunas disiplin ilmu.

Justeru, ternyata bahawa mereka ini hanyalah terpedaya dengan obses mereka untuk mengaitkan semua perkara yang mampu dikaitkan dengan perkara yang sudah mereka pegang.

Antara perkara yang perlu difikirkan oleh golongan antivaksin yang taksub dengan teori konspirasi berkaitan Dajjal dan sebagainya ini.

Jika Dajjal menggunakan alat seperti nanocip dalam vaksin dan sebagainya ini untuk mengawal minda manusia, tidakkah itu bermaksud bahawa nanti manusia-manusia yang akan tunduk kepada Dajjal ini adalah golongan manusia-manusia yang tidak mempunyai kewarasan akal?

Jika demikian, tidakkah itu bermaksud mereka akan dilepaskan daripada pertanggungjawabkan di hadapan Allah kerana mereka boleh adukan di hadapan Allah bahawa akal fikiran mereka dikawal lantas mereka tidak akan dipertanggungjawabkan di atas perbuatan mereka tersebut.

Hal ini mengingatkan kita kepada amaran nabi Muhammad SAW mengenai al-Ruwaibhidhah yang bermaksud:

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda SAW ditanya: Siapakah golongan al-Ruwaibhidah? maka baginda SAW menjawab: Orang yang bodoh lagi fasiq berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar”. (riwayat Ibn Majah)

Pandemik Covid-19 ini melibatkan nyawa manusia. Ia bukan perkara kecil. Oleh itu, janganlah kita menjadi seperti Ruwaibhidhah atau mengikuti dakwaan si Ruwaibhidhah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN