Petani kecewa jadual lepas air,tanam padi tidak seragam

Petani kecewa jadual lepas air, tanam padi tidak seragam

SAMSUDIN Md. Desa menunjukkan keadaan pintu air yang dipenuhi sampah sarap di Kampung Kubang Jambu, Kota Kuala Muda di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sekumpulan petani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Muda Selatan di Kota Kuala Muda di sini, kecewa dengan sistem ja­dual pelepasan air yang didakwa tidak seragam dengan penanaman padi sehingga menjejaskan pengeluaran hasil sejak kebelakangan ini.

Ketua Unit Peladang Kampung Sungai Emas, Mohd. Yatim Ismail, 64, berkata, masalah itu melibatkan kawasan penanaman padi Kota 2 yang mempunyai seramai 1,200 petani dengan ke­luasan sawah seluas 1,800 hektar.

“Dianggarkan seramai 400 petani daripada beberapa buah kampung seperti Kampung Bukit Meriam, Kampung Paya, Kampung Sungai Yu, Kampung Permatang Kuala dan beberapa kampung lagi mengalami kerugian akibat tanaman padi mereka rosak.

“Masalah itu berlaku dise­babkan waktu pelepasan air yang tidak sistematik dan tidak seragam dengan jadual penanaman padi menyebabkan tanaman mereka rosak serta mereput,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd. Yatim berkata, situasi seperti itu membuatkan petani semakin tertekan kerana terpaksa menanggung kerugian apabila hasil daripada penanaman padi yang diusahakan tidak dapat dituai.

Katanya, mereka sudah beberapa kali membangkitkan isu itu sewaktu mesyuarat bersama jurutera daerah, namun belum ada sebarang tindakan produktif yang diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Mengikut jadual Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ketika ini, air dilepaskan selepas tempoh tiga bulan tapi bagi tanaman padi, sepatutnya air dilepaskan selepas dua bulan kerana apabila air belum ke­ring hasil padi tidak dapat dituai dan menyebabkan padi mereput serta rosak,” katanya.

Sementara itu, seorang petani dari Kampung Bukit Meriam, Mohd. Fazirul Ismail, 39, meminta JPS lebih peka dengan jadual penanaman padi petani di kawasan itu supaya sistem pelepasan air dapat diseragamkan.

“JPS seharusnya ambil perhatian terhadap aduan dan masalah yang disuarakan oleh golongan petani kerana sektor ini menyum­bang kepada pengeluaran beras yang merupakan makanan asas rakyat di negara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, petani dari Kampung Bukit Berangan, Samsudin Md. Desa, 67, mahu JPS melakukan penyelenggaraan dan pembersihan di kawasan pintu air dan sistem perparitan yang tersumbat akibat sampah sarap.

“Kawasan peparitan di sini perlu diselenggara dengan baik bagi memastikan sistem pengairan ke kawasan sawah padi dapat berjalan lancar,” ujarnya.–UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×