KOTA BHARU: Isu miskin tegar dan miskin di Kelantan sebenarnya mempunyai perkaitan dengan senarai e-Kasih yang dianggap bermasalah dan pernah dipersoalkan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, senarai e-Kasih yang sedia ada tidak menggambarkan keadaan sebenar di negeri ini dan perlu diputihkan.
“Saya rasa itu merupakan isu sebenar yang perlu diberikan perhatian dan kita (kerajaan negeri) pernah mempersoalkan kesahihan senarai berkenaan sebelum ini,” katanya selepas diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar tertinggi di Semenanjung Malaysia.
Terdahulu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor ditemui selepas Majlis Perasmian Bangunan B Rohm Wako Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Mohd. Amar memberitahu, beliau tidak mengetahui angka mana yang digunakan oleh Fadillah untuk menggambarkan kadar miskin dan miskin tegar di negeri ini.
Katanya, beliau tidak boleh mengulas lanjut dan apa yang pasti kadar miskin serta miskin tegar di Kelantan bukan tertinggi di Malaysia.
“Mengikut rekod yang lepas, bilangan KIR miskin dan miskin tegar di Kelantan adalah ketiga tertinggi di negara ini selepas Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kelantan merekodkan jumlah bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar tertinggi di Semenanjung sehingga 11 September tahun ini.
Sepanjang tempoh itu seramai 57,355 orang KIR miskin telah direkodkan manakala 10,417 adalah KIR miskin tegar daripada jumlah keseluruhan sebanyak 67,772 orang KIR.-UTUSAN










