JAKARTA: Indonesia berusaha keras untuk memadam kebakaran hutan dan tanah yang melanda negara ini sejak beberapa minggu lalu sehingga mencetuskan jerebu tebal.
Namun, sehingga kini, Indonesia terus menafikan asap jerebu itu melintasi ruang udara beberapa negara jiran, termasuk Malaysia dan Singapura.
Kaedah tradisional iaitu tebang dan bakar pokok sering digunakan oleh masyarakat negara ini setiap tahun untuk membersihkan tanah pertanian bagi membolehkan tanaman baharu ditaman.
Masalah jerebu yang melanda Indonesia dan negara berhampiran juga sering berlaku, namun sehingga kini tiada langkah konkrit diambil negara ini untuk mencegahnya daripada berulang.
Menteri Alam Sekitar, Siti Nurbaya berkata, tiada asap jerebu dikesan menuju ke Malaysia, tiga hari selepas Putrajaya mendesak Jakarta supaya mengambil langkah segera menangani jerebu yang berlaku.
Siti memaklumkan, kebakaran hutan dan tanah di Sumatera semakin berkurangan.
“Kita bertungkus-lumus untuk memadam kebakaran dan langkah itu diambil bukannya disebabkan oleh desakan Malaysia.
“Saya tidak tahu kenapa Malaysia perlu desak Indonesia untuk padam kebakaran sedangkan itulah yang kami usahakan ketika ini.
“Negara mana yang mahu kebakaran hutan dan tanah terus berlaku sehingga menyebabkan pencemaran udara dan menjejaskan kesihatan masyarakat?,” katanya.
Pihak berkuasa Indonesia ketika ini menggunakan helikopter untuk melepaskan air di kawasan terbakar, selain melakukan pembenihan awan untuk hujan.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan, kerajaan Malaysia sudah menghantar surat kepada Indonesia dan negara ASEAN lain yang terkesan dengan jerebu rentas sempadan.
Katanya, surat itu dihantar selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkoordinasi dengan rakan sejawatnya bagi menangani masalah berkenaan.
Bagaimanapun, Nik Nazmi tidak menjelaskan kandungan di dalam surat tersebut dan bila surat itu dihantar.
MUSIM KEMARAU TERBURUK
Musim kemarau yang melanda Indonesia tahun ini disifatkan terburuk sejak 2019 akibat fenomena El Nino, sekali gus menyebabkan kebakaran hutan dan tanah yang berlaku sukar dikawal.
Kebakaran hutan setakat ini menjejaskan kawasan seluas lebih 267,900 hektar tahun ini, iaitu melebihi jumlah tahun lalu iaitu 204,894 hektar.
Pada 2015 dan 2019, kebakaran hutan dan tanah di Indonesia menyebabkan pencemaran jerebu di beberapa negara ASEAN, termasuk memecah rekod pelepasan karbon.
KALIMANTAN TERUK TERJEJAS
Dalam pada itu, Badan Nasional Pencegahan Bencana (BNPB) Indonesia melakukan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan buatan di Kalimantan Selatan untuk menangani kebakaran hutan dan tanah yang semakin merebak.
Jurucakap BNPB, Achmad Nur Wahyudi berkata, proses pembenihan awan itu akan dilakukan sehingga hari ini.
Katanya, dalam operasi tersebut, BNPB menggunakan pesawat Cessna C208B/PK-SNS yang akan menyembur 1,000 kilogram garam atau NaCI bagi tujuan pembenihan awan.
“Proses itu akan dilakukan di langit daerah Banjar, Tapin dan Tanah Bambu serta Kota Banjarbaru untuk menghasilkan hujan buatan.
“Operaso itu dilakukan atas arahan Gabebor Kalimantan Selatan dan kami berharap usaha ini berhasil mengurangkan kebakaran,” katanya.
SINGAPURA JUGA TERJEJAS
Selain itu, kualiti udara di Singapura mencecah julat tidak sihat semalam dengan pihak berkuasa memberi amaran keadaan berjerebu ekoran peningkatan jumlah titik panas di Indonesia.
Sehingga pukul 10 pagi semalam, Indeks Piawaian pencemaran (PSI) 24 jam bagi wilayah timur Singapura merekod bacaan 109.
Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) menggariskan bacaan PSI 101 hingga 200 sebagai ‘tidak sihat’.
Agensi itu meramalkan keadaan ‘sedikit berjerebu’ sepanjang hari ini di bahagian utara, selatan, timur dan tengah Singapura, dengan hanya bahagian barat dijangka mendung.
Kelmarin NEA memaklumkan, kualiti udara boleh memasuki julat ‘tidak sihat’ pada hujung minggu ini sekiranya kebakaran hutan di Indonesia berlanjutan dan ditambah dengan dorongan arah tiupan angin.










