PETALING JAYA: Tidak timbul lagi isu ‘potong barisan’ terutama dalam kalangan pegawai kepada menteri dan Exco negeri di pusat pemberian vaksinasi dengan adanya Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan.
Garis panduan berkenaan menyatakan dengan siapa individu yang layak atau belum layak untuk menerima vaksin dalam fasa pertama yang bermula 24 Februari lalu.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu hasil perbincangan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang memperincikan tentang petugas barisan hadapan dan akan dimuat naik di laman sesawang (JKJAV), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
“Saya menerima aduan beberapa ahli politik dan pegawai kementerian yang didaftarkan untuk mendapatkan vaksin walaupun tidak dianggap sebagai barisan hadapan.
“Pegawai menteri, Exco negeri, Menteri Besar dan setiausaha ahli politik tidak berada dalam senarai fasa pertama. Ahli keluarga menteri atau wakil yang dipilih juga tidak termasuk dalam senarai itu.
“Jangan potong barisan. Sila ikut senarai ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr. Adham Baba melalui aplikasi Zoom semalam.
Kelmarin, tular di media sosial mengatakan 200 Ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan cuba memotong barisan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 lebih awal namun Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr. Izani menafikan cakap-cakap tersebut.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini bersetuju memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada semua ahli politik kerajaan dan pembangkang kerana tugas mereka perlu berjumpa anggota masyarakat.
Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, seramai 17,064 orang sudah menerima suntikan vaksin di seluruh negara dengan Sarawak merekodkan kadar pemberian imunisasi paling tinggi 7,402 penerima diikuti Pahang (2,419) dan Perak (1,277).
Mengulas berkenaan kadar pendaftaran menerima vaksin yang dikatakan kurang memberangsangkan, Khairy mendakwa ia berpunca daripada sikap ‘tunggu dan lihat’ o masyarakat.
Setakat ini, menurutnya, hanya 1,468,137 orang bersamaan 6.1 peratus daripada keseluruhan 80 peratus yang disasarkan mendaftar sebagai penerima vaksin.
Bagaimanapun, usaha kerajaan berterusan dengan membuka kaedah pendaftaran melalui laman web rasmi, secara dalam talian dan berkunjung ke hospital atau pusat kesihatan berdekatan.
“Memang kita sudah jangka keadaan ini akan berlaku tetapi saya yakin apabila ramai lagi barisan hadapan menerima vaksin, rakyat akan lebih yakin untuk mendaftar,” katanya.- UTUSAN











