KEMAMPUAN membawakan pelbagai watak menjadikan nama pelakon ini cukup dekat dengan peminat drama melayu. Tidak sekadar mendambakan wajah kacak, harus diakui Redza Rosli kini menjadi pilihan kerana bakat yang dimilikinya.
Hampir enam tahun berada dalam dunia lakonan, tidak sekalipun dia pernah melupakan prinsip untuk kekal menjadi diri sendiri.
Ketika laman sosial kini menjadi jambatan populariti buat artis lain Redza bagaimanapun yakin untuk membuktikan dirinya dengan cara berbeza.
“Saya akui memang tidak begitu aktif di laman sosial, telefon bimbit selalunya saya guna hanya untuk mencari informasi tentang sesuatu yang saya tidak tahu sahaja. Bukanlah saya menidakkan kekuatan laman sosial cuma saya lebih senang jadi diri sendiri.
“Ikutkan saya lebih aktif dengan aktiviti lain seperti sukan permotoran, cuma tidak berkongsi sahaja di laman sosial. Tidak pernah pula terasa diri ini terbelakang sebab tidak aktif di laman sosial, macam mana pun saya lebih senang untuk menjadi diri sendiri sahaja,” katanya.
Tidak melihat ada kesalahan menggunakan media sosial untuk mengukur tahap populariti seseorang. Jelas Redza atau nama sebenarnya Ahmad Redza Rosli, apa juga pandangan dalam soal ini dia harus akur pengaruh yang dibawa media sosial kini.
“Bagi saya setiap negara itu ada perbezaan sendiri, mungkin kalau di Hollywood sendiri ada pelakon yang tidak perlukan media sosial masih boleh dihargai dengan baik. Berbeza dengan kita, media sosial digunakan bukan sahaja untuk mempromosikan diri tetapi dalam masa yang sama bagaimana ia juga mampu memberi impak yang baik untuk sesebuah drama.
“Macam saya sendiri walaupun tidak aktif masih menggunakan ruang yang ada untuk membalas pesanan-pesanan yang ditinggalkan peminat. Cuma yang pelik-pelik itu tidak layan la,”katanya jujur.
Menjadi antara artis yang jarang terpalit dengan kisah kontroversi mahupun cinta lokasi, Redza akui dia sangat menghargai peluang untuk menjadi anak seni. Mahu memastikan apa yang dimiliki ini akan kekal berada dalam radar yang sama. Tegas Redza ada syarat yang perlu dipatuhinya sepanjang menjadi pelakon.
“Bila berada di set saya akan sentiasa bersedia, bermakna saya akan fahami watak yang saya bawa betul-betul. Sebab itu bila ada yang kata perlu timbulkan keserasian dengan pelakon wanita perlu keluar bersama dan sebagainya saya tidak setuju.
“Perlu kawal diri sebenarnya, saya sendiri kalau tidak berada di set saya lebih senang buat hal sendiri saya tidak akan campur adukkan dengan kerja,” kata pelakon yang pernah mencuri tumpuan melalui lakonannya dalam drama Misteri Mona.
CINTA BELUM HADIR
Pada usia 29 tahun kini, mungkin ada yang melihat Redza sendiri sudah bersedia ke fasa berbeza hidupnya. Tidak berselindung masih selesa sendiri, ketika ini cinta bukan suatu keperluan buat dirinya lagi.
“Semua orang memang ada perasaan untuk bercinta dan berkahwin, bagi saya sendiri belum terfikir ke arah itu. Saya cukup positif dalam soal ini, sebab kita tidak pernah tahu soal jodoh, siapa tahu dalam tempoh terdekat juga boleh berkahwin.
“Cuma dalam tempoh ini, saya hanya lebih senang meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa perlu membebankan fikiran dengan perkara ini,” katanya.
Bukan menolak rasa cinta yang mahu hadir, tambah Redza sendiri ketika ini dia lebih senang untuk mengakui bagaimana kekangan masa juga membuatkan dia lebih selesa sendiri.
“Dengan jadual kerja yang agak padat saya sendiri tidak lihat ada ruang untuk saya luangkan kepada orang lain. Macam tempoh hari berbulan-bulan di Perlis, kalau diri sendiri pun tidak sempat bagaimana mahu beri masa pada orang lain.
“Soal sunyi tanpa cinta tidak pernah saya lalui, buat masa sekarang saya lebih senang untuk simpan semuanya sendiri sahaja,” jelasnya lagi.

RENDAH DIRI
Kehadiran ramai pelakon baharu kini sedikit sebanyak mula memeriahkan industri lakonan. Selaku pelakon yang masih dalam fasa pembelajaran, pelakon tampan ini juga yakin memulakan sesuatu bukan memerlukan kesempurnaan. Berkongsi apa yang pernah dilaluinya pada awal pembabitan dalam dunia seni, kata Redza jangan pernah berhenti belajar.
“Peluang untuk berlakon dengan mereka yang jauh lebih berpengalaman seharusnya digunakan dengan baik. Jangan pernah terasa dengan teguran memandangkan itu adalah ilmu yang perlu dihargai untuk menjadi lebih baik.
“Macam saya sendiri kalau ada peluang dapat berlakon dengan pelakon lama, saya akan gunakan sebaik yang mungkin. Sebab itu jangan lepaskan peluang yang ada untuk sentiasa memperbaiki lakonan,”jelasnya.
Bercakap mengenai perkembangan lain Redza kini juga baru sahaja menjayakan drama bersiri terbitan Zeel Production berjudul Tak Sempurna Mencintaimu untuk slot Akasia TV3.










