MELAKA: Pengusaha restoran di Banda Hilir di sini kian resah berikutan kenaikan mendadak sehingga 40 peratus harga cili kering, bawang besar, bawang kecil, bawang Holland dan halia sejak dua minggu lalu.
Paling mengejutkan kenaikan harga cili kering import disifatkan tidak masuk akal.
Pengusaha Restoran Asam Pedas TJ di Plaza Mahkota, Haliza Kamaruddin, 56, berkata, kebiasaannya dia membeli cili kering seguni dengan harga RM100 tetapi dua minggu lalu ia naik kepada RM260 seguni.
“Itu tidak termasuk harga bahan mentah lain seperti bawang besar, bawang merah dan putih yang menjadi bahan utama masakan turut mengalami kenaikan antara 30 hingga 40 peratus.
“Situasi ini sangat menjejaskan perniagaan saya kerana harga makanan masih lagi dijual pada harga lama. Saya tidak bercadang naikkan harga sebab tidak mahu bebankan pelanggan,” katanya.
Sementara itu pengusaha Restoran Asam Pedas Selera Kampung, Saharudin Mohd. Nor, 56, berkata, kenaikan paling ketara melibatkan cili kering yang dibeli sebanyak empat guni mencecah RM1,040 tidak termasuk bawang besar, bawang kecil dan pelbagai bahan mentah lain.
“Selalu barang mentah ini saya beli dan tidak tengok trend harga, tetapi semalam saya pergi membeli barang dan terkejut melihat banyak bahan mentah naik dengan harga yang tidak terjangkau fikiran apabila dapat bil.
“Bila saya tanya pemborong, dia cakap harga naik disebabkan faktor cuaca di China, India, Thailand dan Indonesia selain kejatuhan nilai ringgit. Harga bahan mentah ini dijangka naik lagi minggu depan,” katanya ketika ditemui.
Namun Saharudin berkata, dia belum bercadang menaikkan harga, walaupun mengakui terkesan dan membebankan operasi perniagaan.
“Bila cili kering naik harga tidak masuk akal, pening juga berniaga asam pedas dan mungkin tidak lama lagi, kuah lagi mahal daripada ikan yang dijual,” ujarnya.
Tinjauan Utusan Malaysia di salah sebuah kedai pemborong di Malim yang menjadi tumpuan pengusaha restoran membeli pelbagai jenis barangan mendapati, harga di situ melonjak terlalu tinggi.
Cili kering China dijual dengan harga RM138 bagi 5 kilogram (kg), cili kering India (RM160) 9kg, cili kering India jenis montel (RM220) 9kg dan cili kering India jenis ikan (RM260) 10kg.
Selain itu, bawang Holland dijual pada harga RM60 bagi 13kg, halia dari Thailand (RM100) 10kg, halia dari Indonesia (RM120) 10kg. – UTUSAN











