Mahu Perhilitan beri taklimat perkara sebenar

Konflik harimau kumbang: N. Sembilan mahu Perhilitan beri taklimat perkara sebenar

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan memberi perhatian serius susulan kekerapan aduan konflik antara penduduk dan harimau kumbang di negeri ini serta peningkatan laporan tangkapan haiwan liar itu sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan untuk memberi taklimat berhubung situasi tersebut.

“Saya akan dapatkan maklumat dan laporan daripada Perhilitan, perkembangan ini sesuatu perkara yang serius dan perlu diberikan perhatian. Saya akan minta Perhilitan memberi taklimat, apa sebenarnya yang berlaku.

“Sambil kita mahu jaga populasi harimau kumbang ini, kita juga kena jaga keselamatan (penduduk) dan ternakan yang diternak masyarakat sekeliling,” katanya.

Beliau mengulas mengenai beberapa kejadian harimau kumbang masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan khususnya di daerah Kuala Pilah dan Rembau kebelakangan ini.

Mengulas aduan penduduk di Kampung Beting Ulu bahawa terdapatnya aktiviti pengeluaran kayu balak di sekitar kawasan itu yang menyebabkan harimau kumbang terbabit keluar dari habitatnya, beliau berkata akan menyiasat dan meneliti perkara tersebut.

“Aktiviti pembalakan memang kita kawal, kerajaan negeri sudah tidak lagi keluarkan lesen balak, ini semua lesen-lesen lama yang telah diberikan sebelum ini. Ia tidak boleh dibatalkan, mereka baru beroperasi dan kita kena benarkan untuk beberapa waktu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×