PETALING JAYA: Kekurangan peruntukan penyelidikan bagi menghasilkan kajian padi bermutu tinggi merupakan punca utama Malaysia masih berada di paras yang sama dalam menghasilkan padi yang tahan cuaca dan serangan serangga perosak.
Biarpun banyak penyelidikan yang dijalankan, namun masih lagi gagal untuk sampai ke petani disebabkan faktor kekurangan dana dan peruntukan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Mohd. Rafii Yusop berkata, negara seperti Dubai dapat berhadapan dengan masalah serangan dari serangga perosak dan dapat menghasilkan padi berdaya tahan disebabkan bantuan pakar dari negara China.
“Dubai baru nak belajar tanam padi di gurun dengan bantuan saintis China. Mereka juga mempunyai peruntukan yang sangat besar berbanding Malaysia dalam menghasilkan padi yang lebih berkualiti,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, agensi kerajaan perlu mencari penyelesaian jangka masa panjang bagi mengelakkan Malaysia dari terus berhadapan isu ketidakcukupan beras tempatan di pasaran.
Mengulas lanjut mengenai penyelidikan yang dijalankan, Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) menjalankan kajian untuk menghasilkan padi yang kalis cuaca.
“Padi ini ada dua jenis iaitu rintang penyakit karah padi dan toleran terhadap submergen atau tenggelam akibat banjir selama dua minggu,” katanya.
Kedua-dua kajian ini sukar untuk dilaksanakan disebabkan kekurangan peruntuan.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian UPM, Dr. Muhammad Firdaus Sulaiman berkata, punca utama kegagalan Malaysia dalam mengurus sistem padi adalah disebabkan kaedah pengurusan dan faktor usia pesawah.
“Pesawah ramai yang dah berusia, jadi mereka akan upah pekerja Bangladesh tetapi mereka (Bangladesh) ini tidak faham sistem panduan yang disediakan Jabatan Pertanian,” katanya. – UTUSAN










