KOTA BHARU: Taktik licik tiga warga Thailand menyorokkan dadah jenis pil yaba dan heroin bernilai RM1.5 juta dalam selimut terbongkar selepas ditahan dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang, di sini pada semalam serta kelmarin.
Dalam serbuan pertama kelmarin, polis merampas 96,00 biji pil yaba bernilai RM1.05 juta manakala serbuan kedua merampas 1.39 kilogram (kg) dadah jenis heroin bernilai RM460,000.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan pertama pihaknya menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di kawasan tepi parkir Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Rantau Panjang di sini.
“Pemeriksaan ke atas satu bungkusan toto yang dibawa suspek telah menemukan 96,000 biji pil yaba yang bernilai lebih RM1.05 juta.
“Ujian saringan mendapati suspek positif dadah metaphetamin dan tidak mempunyai rekod lampau,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini semalam.
Muhamad Zaki berkata, siasatan awal mendapati suspek masuk ke negara ini menggunakan laluan sah.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai hubungan dengan sindiket pengedar dadah di negeri ini dan kesemua pil yaba yang dibawa masuk itu dipercayai untuk di pasarkan ke luar negara.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula 2 sehingga 8 Oktober ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Muhamad Zaki memberitahu, serbuan kedua pada pukul 2.45 petang polis menahan seorang lelaki dan wanita warga Thailand di Rantau Panjang. – UTUSAN










