TANPA perlu meneka dalam kesamaran, semuanya sudah jelas membuka ruang pilihan. Demikian suasana di Pelangai menjelang pilihan raya kecil (PRK) 7 Oktober ini. Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sudah kenal siapa dan parti mana untuk dipilih. Pengamatan mereka tentu merujuk pada rekod keberkesanan, wibawa calon serta latar belakang parti yang boleh membawa jaminan masa depan.
Pengundi Pelangai boleh menilai sikap dan perangai. Ada parti yang hanya mencari kemenangan bersandar kritikan terhadap parti lawan. Ada parti menawar kerangka janji bercorak objektif dan menyubur keyakinan. Sebagai lazimnya, terdapat juga calon yang turun menawar diri sekadar berniat memecah undi.
Parti yang suka mengkritik dan mencari kelemahan lawan biasanya cuba melindungi kelemahan sendiri. Formula yang digunakan ialah semua langkah dan tindakan pihak lawan tidak kena dan tidak patut.
Sebaliknya, sebarang percaturan dan penentuan parti sendiri dianggap sesuai dan tepat. Ini termasuk hal-hal berkaitan pertandingan jawatan dalam parti.
Jadi, pengundi di Pelangai tentu sudah tidak ada masa untuk melayan pelbagai karenah politik yang sengaja dicipta atau dirancang oleh pihak-pihak tertentu bagi meraih sokongan di musim pilihan raya. Mereka perlu lihat pada pendekatan logik dan bukti yang pernah dilalui. Kalau baik, terima dan kekal sahajalah!
Lagi pun kawasan Pelangai masih perlu dibangun dan dimajukan. Penduduk sekitarnya tentu mengharapkan suasana kehidupan selesa dan sejahtera, sama seperti dinikmati oleh penduduk di kawasan-kawasan yang telah dimajukan khususnya di Pahang. Justeru, apabila ada pihak yang secara jelas menawarkan formula 3P, iaitu merujuk kepada pendapatan, perumahan dan penyediaan infrastruktur, mereka tentu menerima dengan senang hati dan meletak harapan tinggi. Harapan yang bercagar keyakinan.
Ditambah pula dengan cadangan untuk memperkasa golongan muda, generasi yang menjadi penentu kesinambungan kemajuan masa depan. Ertinya, gabungan perancangan menyediakan peluang pekerjaan serta punca pendapatan terjamin, perumahan selesa dan mencukupi serta penyediaan kemudahan asas yang sesuai merupakan suatu pakej pembangunan sentiasa diharapkan oleh penduduk di mana-mana daerah atau kawasan.
FELDA
Melalui PRK pada Sabtu ini, pengundi Pelangai diharap dapat menghantar suatu mesej jelas tentang ‘cukup-cukuplah bertelagah politik’ sehingga merugikan masa dan tumpuan untuk memajukan kehidupan. Pahang merupakan sebuah negeri yang stabil dan makmur, seiring dengan gelaran Darul Makmur. Tidak ada sebab untuk mengganggu kemakmuran yang sedia dinikmati.
Penduduk Pelangai khususnya yang tinggal di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pula tentu sentiasa mengenang, menghargai jasa dan legasi dasar Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang membangunkan Felda. Kehidupan masyarakat luar bandar ternyata banyak berubah dengan penubuhan Felda. Malah, konsep Felda diakui berkesan dalam membawa kemajuan kepada golongan yang sebelumnya serba kekurangan.
Hampir separuh atau seramai 7,983 daripada sejumlah 16,456 pengundi berdaftar di DUN Pelangai merupakan masyarakat Felda. Mereka adalah warga Felda Chemomoi, Felda Sungai Kemahal dan Felda Sungai Kemasul. Barisan Nasional (BN) mendominasi kemenangan di DUN Pelangai sejak 1986. Apakah bilangan majoriti yang diperoleh penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini (Datuk Seri Johari Harun), iaitu sebanyak 4,048 undi masih dapat dikekal, ditambah atau dikurang? Terpulang pada pengundi Pelangai.
Sementara itu, momentum kestabilan politik negara perlu dipelihara dan diberi sokongan. Malaysia perlu maju dan stabil. Dan, pengundi Pelangai juga perlu buktikan DUN Pahang kekal teguh tanpa gangguan.
Tadbir urus yang sedang rancak berjalan perlu diiring dengan sokongan padu rakyat. Tentukan tempo pembangunan negeri tidak terencat. Sebarang gangguan atas hal-hal tidak perlu seperti berpolitik yang hanya lebih cakap daripada buat perlu dielak dan disekat.
Penduduk Pelangai boleh mengukur dengan mudah perjalanan tadbir urus negeri setidak-tidak di tiga negeri di Pantai Timur. Letakkan tujuan berpolitik demi memudah dan memajukan kehidupan. Berpolitik bukan untuk sekadar mempermainkan hukum-hakam agama, tetapi memelihara keutuhan sistem sedia ada termasuk menegakkan kesucian Islam secara syumul, mendaulatkan kedudukan raja-raja serta menjamin hak-hak keistimewaan orang Melayu. Semuanya bukan lagi menjadi isu kerana sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pada mana-mana pilihan raya, yang penting bakal dilihat ialah trend sokongan pengundi terhadap mana-mana parti atau calon bertanding. Akan diperoleh nanti suatu pengukuran prestasi parti-parti yang terbabit dalam pertandingan secara umumnya. Jadi, jangan remehkan kepentingan keluar mengundi. Politik adalah kaitan kuasa manakala kuasa boleh menentukan hala tuju kehidupan bernegara.
Lihat pada bukti, bukan pada janji. Bisikkan pada hati, yang dicari ialah keupayaan sejati bukan alasan disusul menanti. – UTUSAN
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).











