BAYAN LEPAS: Pembukaan Pejabat Konsulat Kehormat Kazakhstan yang pertama di Pulau Pinang akan membantu mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara terutama dalam kerjasama ekonomi.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Group (Kumpulan PG), Datuk Louis Ng Chun Hau yang dilantik Konsul Kehormat Republik Kazakhstan di Pulau Pinang berkata, beliau berazam mengukuhkan hubungan sedia ada antara kedua-dua negara itu.
“Saya juga berhasrat membawa perubahan positif serta memainkan peranan penting dalam meningkatkan sosio ekonomi global antara Pulau Pinang dan Kazakhstan.
“Selain itu, saya akan memberi tumpuan kepada kerjasama ekonomi dan kepelbagaian perdagangan antara Pulau Pinang dan Kazakhstan untuk menangani ketidaktentuan global,’’ katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis perasmian Pejabat Konsulat Kehormat Republik Kazakhstan di Pulau Pinang oleh Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Syed Bakri Syed Abd Rahman di sini semalam.
Hubungan diplomatik antara Republik Kazakhstan dan Malaysia telah terjalin sejak 1992 dan rentetan itu, kedua-dua negara mengekalkan hubungan rapat berdasarkan kepercayaan dan saling menghormati.
Dalam pada itu, menurut Louis, Pulau Pinang merupakan pusat kepakaran dalam sektor elektrik dan elektronik yang teguh di rantau ini serta berada pada kedudukan tertinggi sebagai peneraju global dalam industri tersebut.
“Kazakhstan pula boleh menawarkan rakyat Malaysia banyak peluang pelaburan dalam teknologi, pertanian, dan sektor infrastruktur.
“Oleh itu, melalui perkongsian dua hala ini, kami juga boleh berkongsi dan meningkatkan lagi pengetahuan dalam teknologi dan inovasi,” katanya.
Dalam pada itu, Bulat Sugurbayev berkata, beliau gembira dengan pembukaan Pejabat Konsulat Kehormat Republik berkenaan di Pulau Pinang dan mengharapkan kerjasama terbaik di bawah kepimpinan Konsul Kehormat yang baharu dilantik.
“Kami berminat meneroka peluang perniagaan dan pelaburan baharu dalam bersama rakan Kazakhstan di Pulau Pinang serta menghulurkan bantuan kepada rakyat Kazakhstan yang menetap dan melawat Pulau Pinang,’’ katanya. – UTUSAN











