MUKADIMAH
HARI ini, Tentera Darat (TD) menyambut ulang tahun ke-88. Sepanjang tempoh penubuhannya, ia berkembang dan mengalami transformasi selaras peredaran semasa dalam meningkatkan pertahanan negara.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI, Panglima TD, JENERAL TAN SRI ZAMROSE MOHD. ZAIN berkata, daya juang anggotanya sentiasa membara dalam menghadapi apa jua situasi getir walaupun berdepan penambahan skop pekerjaan terutama dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.
UTUSAN: Dalam Perintah Ulung, Tan Sri menyebut tiga prinsip dan lima tonggak (3P+5T). Boleh ulas lanjut?
ZAMROSE: Apabila mengambil alih sebagai Panglima TD, saya memberi fokus kepada tiga prinsip (3P) dan lima tonggak (5T). 5T adalah pertama, Kelangsungan Misi dan Kesiagaan dengan meneruskan tugas-tugas terdahulu dan melihat kepada tugasan terbaharu.
Kedua, Keutuhan Organisasi dengan menguatkan Wilayah Timur. Kita mahukan kekuatan seimbang antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak. Kita guna pakai konsep dua pertiga kekuatan berada di Semenanjung dan selebihnya di Sabah serta Sarawak.
Dahulu sekiranya apa-apa berlaku di Sabah atau Sarawak, kita akan tarik kekuatan di Semenanjung tetapi kini tidak perlu lagi.
Ketiga, Pelestarian Kesejahteraan Warga iaitu kebajikan anggota. Fokus kami adalah memastikan 63,000 anggota menyertai program Satu Anggota Satu Rumah (SASar). Buat masa ini hanya 35,000 anggota terlibat.
Kita tidak mahu mereka menggunakan elaun untuk membayar sewa rumah. Insya-Allah, kita akan pastikan setiap anggota yang berkeluarga tinggal di rumah keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini sepanjang tempoh berkhidmat.
Apabila bersara nanti, kita mahu mereka tinggal di rumah SASaR. Kini terdapat tiga perumahan SASaR iaitu di Kem Sungai Besi, Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (Pulapot) dan Kem Wardieburn.
Di samping itu, kita mahu pastikan kelengkapan dari kepala ke kaki mencukupi. Apa hak mereka, kita akan bagi.
Keempat, Pengukuhan Hubungan Pertahanan. Sejak penularan Covid-19, hubungan ketenteraan antara Malaysia dan antarabangsa diteruskan secara maya. Mungkin beberapa perkara yang tidak boleh diselesaikan secara formal dapat dibuat atas dasar persahabatan.
Terakhir, Peningkatan Hubungan TD Dengan Orang Awam akan menjadi panduan utama kerana kita tidak boleh bergerak sendirian. Sebaliknya perlukan kerjasama daripada banyak pihak seperti
Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi lain dalam Op Penawar dan Op Benteng.
Kita juga menjalin kerjasama dengan Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam Projek Jiwa Murni.
Apa cabaran bagi memastikannya terlaksana?
Nampak senang di atas kertas tetapi untuk melaksanakannya penuh cabaran. Antaranya untuk mencapai tahap kesiagaan tertinggi dalam menjaga kepentingan dan mempertahankan kedaulatan negara seperti merencana penggantian dan perolehan aset berteknologi tinggi dalam melaksanakan misi untuk menjadi sebuah ketumbukan yang kredibel serta kekal relevan.
Selain itu, adaptasi anggota terhadap persekitaran yang kompleks. Warga TD pada masa ini berada di persekitaran sosial yang sangat mencabar. Persekitaran negatif yang tidak dibendung melalui tindakan pemerintahan yang kurang komprehensif akan menyebabkan kerugian kepada sumber manusia, seterusnya menjejaskan daya juang TD.
Apa perubahan yang Tan Sri bawa sejak memegang tampuk pemerintahan, 11 Jun tahun lalu?
Saya bergantung kepada 5T tadi. Namun, buat masa ini saya sudah melaksanakan kelangsungan misi. Jangka masa (perkhidmatan) saya tidak lama, hanya dua tahun. Justeru, perlu ada kerangka masa untuk menilai, melaksana, melihat pencapaian dan menilai semula tugasan serta bersedia menyerahkan kepada Panglima baharu.
Saya berpendapat, kejayaan tidak hanya dicapai semasa era saya sebaliknya dikecapi sejak dahulu lagi. Justeru, kita perlu ada kerangka Army 4NextG merangkumi masa 30 tahun bergantung pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Apa perancangan untuk memperkasakan TD?
Tahun ini, TD dalam inisiatif mengoperasikan Kertas Putih Pertahanan yang menjadi asas kepada perancangan strategik TD. Saya akan memastikan perancangan ini mendukung Pelan Strategik Kementerian Pertahanan.
TD juga komited dalam usaha merealisasikan Strategi Ketenteraan Negara (SKN2.0) dan Dimensi Keempat Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF) sebagai salah satu inisiatif memperkukuhkan TD dalam melaksanakan misi.
Tahun ini juga merupakan tahun pengukuhan bagi TD dalam menumpukan aspek gerakan, tadbir dan logistik supaya misi dan visi dapat dilaksanakan lebih berkesan.
Peranan TD dalam menjayakan Program Imunisasi Kebangsaan?
Kita membantu dari aspek logistik termasuk penstoran, penghantaran dan pengagihan di samping penyediaan kawalan keselamatan di setiap fasa pelaksanaan program.
Kita juga membangunkan Program Imunisasi Covid-19 di peringkat ATM. Seramai 26,500 anggota akan menerima suntikan awal dengan keutamaan kepada mereka yang bertugas di zon merah seperti Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Pengisytiharan proklamasi darurat baru-baru ini menambah bidang kuasa perundangan tentera. Komen?
Penambahan bidang kuasa hanya meliputi menangkap dan menahan individu yang melakukan jenayah rentas sempadan, sama ada mereka itu pendatang atau penyeludup.
Sebelum diberi kuasa pun kita laksanakan tugas cuma masalahnya anggota tiada kuasa seperti menangkap, menahan, menyoal siasat. Dengan sedikit kuasa ini, anggota dapat melaksanakan tugas secara menyeluruh.










