MUKADIMAH
PEMANGKU Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh menepis dakwaan bahawa beliau berasa hati dan kecewa tidak dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Oktober ini.
Beliau juga memberi jaminan tidak akan berlaku perpecahan di peringkat UMNO Bahagian Bentong kerana mereka orang parti, bersetia berkhidmat demi memastikan Pelangai kekal milik Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kali ini.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA, Mohamad Zaini berkongsi pandangan tentang PRK DUN Pelangai.
UTUSAN: Selaku Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, bagaimana peluang BN?
MOHAMAD ZAINI: Saya berkeyakinan tinggi Barisan Nasional (BN) dapat mengekalkan kerusi DUN Pelangai, namun kita tidak memandang mudah pihak lawan khususnya Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas. Insya-Allah UMNO Bahagian Bentong akan bekerja keras sehingga hari terakhir kempen pada 6 Oktober ini.
Datuk Amizar Abu Adam dipertaruhkan BN walaupun tewas pada PRU15 di Ketari. Adakah ketandusan calon?
UMNO tidak ketandusan pemimpin kerana pemilihan Datuk Amizar asas utama pimpinan UMNO Pusat dan negeri setelah mengambil kira kehendak majoriti pengundi yang mahu anak tempatan.
Amizar yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong dikenali termasuk anak muda di Pelangai kerana beliau merupakan anak jati Felda Chemomoi.
Calon Bebas PRK DUN Pelangai dakwa Datuk Seri kecewa tidak dicalonkan?
Ini merupakan fitnah bagi menjejaskan reputasi saya sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong. Saya tidak berasa kecewa tidak dicalonkan BN pada PRK DUN Pelangai.
Semasa majlis pengumuman calon BN 20 September lalu, saya menyatakan sokongan penuh terhadap calon dipilih. Saya juga menyatakan kita tidak rela kalah di Pelangai.
Saya juga ingin memberikan jaminan tidak berlaku perpecahan di UMNO Bahagian Bentong. Kita sudah pun menandatangani aku janji kepada Menteri Besar dan Presiden parti, siapa sahaja dipilih kita akur.
Adakah Datuk Seri melihat Pelangai masih kubu kuat BN?
Seluruh jentera UMNO dan BN akan menyantuni setiap pelusuk DUN Pelangai bagi memastikan terus kekal menjadi kubu kuat BN di negeri ini.
Kita perlu memastikan majoriti 4,048 undi yang dimenangi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun pada PRU15 dikekalkan.
Harapan Datuk Seri kepada pengundi di Pelangai?
Saya berharap pengundi DUN Pelangai mengundi calon BN pada PRK kali ini bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan Allahyarham Johari.
Buatlah pilihan terbaik bagi memastikan Pelangai terus kekal sebagai kawasan yang menjadi penyokong kerajaan dan jangan kita lupa Pelangai melahirkan dua tokoh berkaliber iaitu bekas Menteri Besar, Tan Sri Adnan Yaakob dan Allahyarham Johari. Kedua-duanya mewakili BN. – UTUSAN











