MELAKA: Seorang pemuda sanggup memberi beras kegunaannya sendiri kepada individu lain yang datang ke rumahnya bagi memohon sumbangan makanan.
Menceritakan pengalaman itu, Fard Osman, 28, berkata, dia yang memulakan inisiatif bank makanan sejak Mac 2021 itu terkejut apabila seorang lelaki datang ke rumahnya di Bukit Katil di sini, kira-kira pukul 2 pagi, baru-baru ini untuk mendapatkan bantuan.
Katanya, ketika itu hanya terdapat tepung gandum kerana bekalan makanan lain telah habis diagihkan kepada penerima yang layak.
“Saya kenal lelaki itu kerana dia pernah datang pada 2021. Saya beritahu kepadanya barang makanan seperti beras, mi segera dan sardin telah habis. Cuma ada tepung gandum.
“Dia kata ‘okey’ dan sangat gembira semasa menerimanya. Sebelum beredar, saya teringat masih ada beras di dapur untuk kegunaan sendiri dan terus beri kepada lelaki itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Nak tahu orang itu susah mudah sahaja. Dia tidak akan memilih atau merungut apa yang orang lain beri sebaliknya dia gembira dengan apa yang dia dapat walaupun sedikit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut Fard, dia tidak pernah terfikir untuk berhenti membantu masyarakat kerana orang susah sentiasa ada walaupun selepas pandemik Covid-19.
Menurutnya, dia memperuntukkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada pendapatan untuk membeli bekalan makanan, sementara baki disumbangkan oleh isterinya, Noor Emylina Bustanorrdin, 28, rakan-rakan dan individu yang bermurah hati.
“Sumbangan diterima dalam bentuk tunai atau barangan secara ikhlas hati, saya tidak meletakkan sebarang jumlah. Jika tiada sumbangan sekalipun, saya akan gunakan duit sendiri untuk membeli bekalan.
“Sebab itu inisiatif bank makanan saya masih bertahan sehingga sekarang. Niat saya hanya untuk membantu, buatlah apa sahaja yang termampu kerana manfaaatnya sangat besar kepada yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN











