BALING: Seorang penduduk Kampung Bukit Iboi, di sini tidak menyangka kejadian banjir kelmarin hampir sama dengan kejadian banjir lumpur dan kepala air pada 4 Julai tahun lalu apabila turut menghanyutkan kayu balak hingga ke halaman rumahnya.
Mashitah Ahmad, 49, berkata, dia masih dalam keadaan trauma selepas tiba-tiba mendapati sebatang kayu balak bersaiz satu pemeluk orang dewasa itu dihanyutkan air menghampiri kawasan rumahnya.
“Ketika itu saya takut sangat kerana bimbang kayu balak itu menghentam dinding rumah. Saya segera meminta suami, Rosni Said, 54, dan dua anak lari keluar dari rumah yang dipenuhi air untuk menyelamatkan diri,” katanya semalam.
Menurut Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) itu, dia sekeluarga bernasib baik kerana kayu balak itu ‘tersangkut’ di sebatang tiang luar rumahnya.
Katanya, hujan lebat sejak pukul 4 petang kelmarin menyebabkan rumahnya dimasuki air sedalam hampir satu meter.
“Kami sekeluarga mula mengemas dan mengangkat barangan ke tempat lebih tinggi tetapi tidak sampai sejam kemudian air mula melimpah memasuki rumah dan dalam masa sama bekalan elektrik terputus.
“Saya dan keluarga naik ke bahagian rumah yang lebih tinggi dan sewaktu melihat di luar didapati sebatang kayu balak dihanyutkan air dan menghampiri rumah kami,” katanya. – UTUSAN










