Dr. palsu makin ramai di negara kita?

Dr. palsu makin ramai di negara kita?

SINDIKET menawarkan ijazah pantas ala mi segera menawarkan ijazah ‘tinggi’ sama ada secara hadir atau hanya secara dalam talian dengan kelas selama beberapa jam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius tindakan segelintir rakyat yang berani ‘membeli’ dan menggunakan perkataan ‘Dr.’ di hadapan nama mereka. Individu sebegini amat tidak berintegriti kerana tindakan mereka adalah satu penipuan yang nyata berikutan ijazah tersebut diperoleh daripada universiti atau institusi palsu, tidak wujud dan langsung tidak perlu belajar bagi mendapatkannya. Mereka hanya sekadar mahukan glamor, dihormati masyarakat di samping mahu meningkatkan peluang untuk diambil bekerja atau dinaikkan pangkat melalui ijazah universiti bogus (tidak wujud) ini.

Sijil dan kelulusan akademik mempunyai nilai psikologi. Semakin tinggi pencapaian akademik seseorang, semakin dia boleh dipercayai dan boleh ‘membeli’ kepercayaan daripada masyarakat atau majikan/pekerja. Terdapat juga penggunaan ijazah dari universiti yang wujud, namun dipalsukan daripada ijazah orang lain. Jika disemak di universiti tersebut, semua program ijazah itu adalah sah, namun individu itu tidak pernah pun belajar di situ. Ramai juga yang mengaku mereka belajar dalam talian melalui program pembelajaran jarak jauh, namun ia juga sekadar rekaan bagi menghalalkan penggunaan ijazah palsu ini.

TANDA-TANDA IJAZAH PALSU
Program ijazah palsu tidak memerlukan pembelajaran, peperiksaan atau interaksi dengan pensyarah berpengalaman (profesor). Jika anda berfikir boleh mendapatkan ijazah tanpa melakukan sebarang tugasan atau penulisan artikel panjang, kemungkinan besar anda terlibat dalam satu skim ijazah universiti palsu yang juga dikenali sebagai diploma mill. Kolej atau universiti yang sah termasuk pembelajaran dalam talian pasti memerlukan anda untuk menjalani kerja kursus yang kompleks dan berinteraksi dalam masa setahun atau dua secara konsisten bersama penyelia akademik atau profesor. Ejen kepada universiti ‘penipu’ akan menyatakan anda boleh mendapat ijazah berdasarkan ‘pengalaman’ sahaja. Pengalaman kerja atau pengalaman hidup anda sahaja sudah mencukupi untuk memperoleh ijazah sarjana!

Memuatkan artikel berkaitan…

Kolej atau universiti yang sah dan diiktiraf mungkin memberikan beberapa kredit bagi pengalaman anda tetapi tidak ada yang akan memberikan keseluruhan ijazah berdasarkan pengalaman.

Sindiket menawarkan ijazah pantas ala mi segera menawarkan ijazah ‘tinggi’ sama ada secara hadir atau hanya secara dalam talian dengan kelas selama beberapa jam. Jika anda ditawarkan ijazah yang hanya perlu belajar dalam tempoh beberapa hari atau minggu, maka kemungkinan besar ia satu scam adalah sangat tinggi.

Ejen atau syarikat yang menawarkan ijazah palsu sering menggunakan e-mel sampah, iklan pop-up dan panggilan telefon. Institusi yang sah dan program pembelajaran jarak jauh pasti tidak akan berbuat demikian.

AKIBAT IJAZAH PALSU
Jika menggunakan ijazah palsu ini untuk memohon kerja atau kenaikan pangkat, anda berisiko tidak diterima bekerja, dipecat di kemudian hari malah mungkin dituduh di mahkamah kerana penipuan.

KUALITI PENDIDIKAN MAKIN TERCEMAR
Pemilik ijazah palsu boleh merosakkan reputasi organisasi dan menjejaskan produktiviti kerja. Ijazah palsu meningkatkan risiko keselamatan dan kesihatan. Ijazah palsu dalam bidang berkaitan kesihatan dan keselamatan boleh membahayakan nyawa dan keselamatan orang ramai.

Tenaga kerja tanpa kelayakan yang sebenar akan merosakkan daya saing negara dan mengehadkan peluang pertumbuhan ekonomi. Kehadiran pemegang ijazah palsu merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan dan sistem pekerjaan di negara kita. Pengguna ijazah palsu adalah contoh buruk kepada generasi muda dan mendorong budaya penipuan.

LANGKAH PENCEGAHAN
Kerajaan digesa menguatkuasakan undang-undang lebih tegas terhadap pengeluaran dan penggunaan sijil palsu. Semua majikan dan Institusi pendidikan dalam negara perlu berkolaborasi dalam proses pengesahan sijil pendidikan bakal pekerja. Program kempen kesedaran awam tentang risiko penggunaan ijazah palsu perlu dilaksanakan untuk menggalakkan masyarakat untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

MEMERIKSA KELAYAKAN AKADEMIK
Berikut adalah beberapa kaedah untuk mengesahkan kelayakan akademik (due diligence) seseorang yang disyaki. Cari dan hubungi institusi tersebut. Kebanyakan pendaftar institusi yang wujud akan dapat mengesahkan tarikh graduasi dan pengesahan penerima ijazah serta gelaran apabila diminta.

Sesetengah ‘kilang ijazah palsu’ menawarkan ‘perkhidmatan pengesahan’ yang akan menghantar transkrip palsu kepada majikan yang menghubungi mereka. Kaji maklumat institusi tersebut di internet: Semak sama ada institusi wujud atau diiktiraf oleh agensi pendidikan negara terbabit.

Banyak ‘kilang ijazah palsu’ mengaku sebagai ‘diiktiraf’ tetapi pengiktirafan ini berasal daripada agensi palsu juga, namun berbunyi rasmi yang mereka cipta sendiri.

Kementerian Pendidikan pernah umum sistem e-skrol pada 2018 untuk semak ijazah, namun sehingga hari ini gagal direalisasikan. Kita mungkin bijak menyemak laman web mereka di internet, namun ia tidak mudah kerana mereka bijak mengelirukan kita.

‘Kilang ijazah palsu’ mempunyai laman web yang cekap. Alamat web ‘dot-edu’ sahaja tidak menjamin keabsahannya dan mungkin hanya berbeza sedikit berbanding institusi sebenar.

Institusi palsu selalunya mengenakan yuran berdasarkan setiap ijazah, bukan setiap kredit, kursus, atau semester. Syarat untuk berijazah yang sedikit atau tidak ditentukan, atau langsung tidak ada. Penekanan diberikan kepada ijazah atas nama pengalaman kerja atau kehidupan. Institusi itu agak baharu atau baru-baru ini menukar namanya!

Kesimpulannya, masalah sijil pendidikan palsu adalah ancaman serius terhadap pembangunan negara dan tenaga kerja berkualiti. Tindakan tegas dan kerjasama semua pihak adalah penting untuk mencegah dan menangani isu ini demi masa depan negara yang lebih cemerlang.

MCW juga menyediakan perkhidmatan untuk menyemak keabsahan sijil akademik bagi mengesan, menghentikan dan mengelakkan rakyat daripada ditipu amalan sedemikian. Untuk membuat aduan atau mendapatkan maklumat mengenai isu ijazah palsu, e-mel kami di [email protected].-UTUSAN

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×