KUALA LUMPUR: Sindiket penyeludup mencetak antara 1,000 sehingga 2,000 setem cukai palsu untuk dilekatkan pada rokok seludup.
Itulah perbuatan jenayah segelintir syarikat yang mengendalikan keluar dan masuk barangan di beberapa pelabuhan utama negara ini.
Setem palsu menggunakan nombor siri sama itu bukan sahaja mengaburi pihak berkuasa tetapi juga perokok.
Namun, bagi perokok tegar mereka mungkin boleh mengesan sama ada rokok berjenama dibeli mereka itu sah atau seludup berdasarkan perubahan rasa apabila menghisapnya.
Selain itu, ada segelintir syarikat sanggup memalsukan pengisytiharan kontena mereka dengan mendakwa muatan komersial sedangkan ia rokok atau arak seludup.
Perkara itu diakui Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador tetapi setakat ini tiada laporan sah diterima daripada agensi penguatkuasaan di pelabuhan.
“Tidak dinafikan, permintaan rokok seludup semakin tinggi dan ramai perokok yang masih tidak buang tabiat mereka mahu mencari rokok dengan harga lebih murah.
“Jadi, sindiket-sindiket ini sentiasa mengambil peluang sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi mengaut keuntungan berlipat ganda,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Abdul Hamid berkata, akibat penyeludupan rokok itu, setiap tahun kerajaan rugi RM5 bilion dan belum termasuk penyeludupan barang-barang lain termasuk arak.
Katanya, penyeludupan berlaku di seluruh negara tidak kira di laluan tikus mahupun pelabuhan.
Dalam pada itu, Pengarah Syarikat Philip Morris Malaysia, Naeem Shahab Khan berkata, syarikat rokok rugi RM5 bilion setahun angkara aktiviti penyeludupan.
Katanya, bagi terus bertahan, syarikatnya terpaksa mengambil langkah meneliti semula aspek perniagaan dalam sektor komersial.
“Aktiviti penyeludupan rokok memberi kesan mencabar kepada kami. Kami terpaksa menanggung kerugian setiap tahun. Keadaan lebih rumit apabila berlakunya pandemik Covid-19,” ujarnya.
Syarikat Philip Morris yang terletak di ibu negara beroperasi sejak tahun 1961 dan pengeluar rokok jenama Marlboro, Semporna A, L&M dan Chesterfield.
Sementara itu, Konfederasi Pengeluar Bir Malaysia Berhad (CMBB) dalam kenyataan menerusi laman web rasmi syarikat berkata, mengikut data sebelum ini, 80 peratus arak diseludup di Sabah dan Sarawak manakala 20 peratus di semenanjung.
“Akibat aktiviti penyeludupan tersebut, kerajaan kerugian hasil cukai minuman keras kira-kira RM1.5 bilion malah pengedar atau penjual sah juga terjejas,” ujarnya.










