PETALING JAYA: Sunway Berhad (Sunway) menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) dengan Penang Development Corporation (PDC), untuk bersama-sama membangunkan sebidang tanah perindustrian seluas 559 ekar di Batu Kawan, Pulau Pinang sebagai pertukaran untuk hak tanah bernilai RM646 juta kepada PDC.
Kerjasama itu dibuat melalui anak syarikat milik penuh Sunway, Sunway Bukit Gambier Sdn. Bhd. dengan usaha sama Umech Land Sdn. Bhd.
Tanah tersebut terletak dilokasi strategik iaitu empat kilometer dari Jambatan Kedua Pulau Pinang, selain menawarkan sambungan yang baik iaitu hanya 20 minit pemanduan dari Pulau Pinang serta 30 minit pemanduan dari Pelabuhan Pulau Pinang.
“Lokasi yang strategik menjadikannya tapak yang ideal untuk Taman Perindustrian dicadangkan, yang akan melengkapkan kawasan perindustrian Batu Kawan yang sedang berkembang seperti Taman Perindustrian Batu Kawan 1 (BKIP 1) dan Taman Perindustrian Valdor.
“Taman perindustrian yang dicadangkan terdiri daripada kilang, lot perindustrian dan komponen komersial dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekurang-kurangnya RM3.5 bilion,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah berkata, Syarikat teruja untuk mengumumkan cadangan pembangunan petak kedua tanah perindustrian tahun ini untuk menambah portfolio pembangunan perindustriannya.
Kata beliau, pelaburan itu menandakan komitmen Sunway Property untuk bukan sahaja mewujudkan taman perindustrian yang mampan tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negeri Pulau Pinang dengan menarik pelaburan dan memupuk kemajuan teknologi di rantau ini.
“Pembangunan strategik sejajar dengan dedikasi Sunway Property untuk memajukan inovasi, teknologi dan pembangunan mampan dalam sektor perindustrian, sambil menampung keperluan perniagaan yang sentiasa berubah dalam era digital,” katanya.
Pada Ogos lalu, Sunway Property memperoleh tanah perindustrian pegangan bebas strategik seluas 245 ekar di Kuang, Rawang untuk dibangunkan sebagai Taman Perindustrian Teknologi terdiri daripada kilang, gudang dan komponen komersial dengan GDV sekurang-kurangnya RM2 bilion.
Pengalaman luas Sunway Property dalam pembangunan mampan dan komitmen teguhnya untuk memanfaatkan teknologi akan membantu memastikan Taman Perindustrian Teknologi di Batu Kawan, Pulau Pinang, bukan sahaja memenuhi permintaan sektor perindustrian tetapi juga mewujudkan piawaian perintis untuk keseluruhan industri.
“Dengan jumlah simpanan tanah seluas 3,312 ekar dan potensi GDV sebanyak RM 53.9 bilion dalam tempoh lebih 15 tahun, Sunway Property bersedia untuk pertumbuhan yang berdaya tahan,” katanya. – UTUSAN










