GEORGE TOWN: Pengendali Nature Walk di Bukit Bendera, KP Ong menafikan perkhidmatan di pusat peranginan popular itu lazimnya mengenakan bayaran berlebihan kepada pelancong.
Ong yang merupakan pengasas dan pengendali Nature Walk berkata, beliau sendiri menawarkan perkhidmatan percuma yang dinamakan free guided walk untuk pengunjung termasuk pelancong asing.
Malah, katanya, perkhidmatan itu ditawarkan sebanyak dua kali setiap hari kepada pengunjung kecuali ketika hari hujan dan keadaan cuaca tidak mengizinkan.
“Free guided walk ini ditawarkan secara percuma kepada pelancong termasuk pelancong asing yang mana ada dua slot yang ditawarkan iaitu pukul 9.30 pagi dan 11.30 pagi.
”Pengunjung hanya perlu ke kaunter kami di atas puncak Bukit Bendera pada pukul 9.30 pagi dan 11.30 pagi untuk mendapatkan perkhidmatan percuma ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Akhbar harian Amerika, USA Today menerusi portal mereka pada 24 Ogos lalu menyiarkan artikel yang menyenaraikan 100 ‘perangkap pelancong’ terbesar di seluruh dunia.
Bukit Bendera termasuk dalam senarai tersebut yang mana USA Today meletakkannya sebagai perangkap pelancong terburuk di Asia dan kesembilan di dunia.
Perangkap pelancong itu memberi gambaran kepada destinasi yang lazimnya mengenakan bayaran berlebihan kepada pelancong.
Menurut Ong, menerusi program free guided walk, pengunjung dibawa menyelusuri kawasan bukit peranginan tersebut sambil menikmati keindahan alam sekitar.
”Pengunjung juga akan diberikan penerangan oleh pemandu pelancong kami secara percuma mengenai bangunan dan sejarah yang ada di atas Bukit Bendera,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, beliau dan pasukan Nature Walk menerima dengan positif mengenai pandangan pelancong asing yang disiarkan menerusi artikel terbitan USA Today itu.
”Cuma saya ingin bertanya kepada pelancong asing adakah mereka boleh dapatkan semua perkhidmatan dengan kualiti terbaik seperti yang ada di Bukit Bendera secara percuma di negara lain seperti di Singapura atau Thailand,” katanya. – UTUSAN











