Perlu data granular untuk membuat keputusan tepat

Perlu data granular untuk membuat keputusan tepat – Hanifah Hajar

HANIFAH Hajar Taib melancarkan Persidangan Statistik Malaysia (MyStats) Ke-10 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memerlukan data granular untuk membuat keputusan yang tepat bagi memastikan tiada pembaziran terutama dalam keadaan sumber kewangan yang semakin terhad.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, sehingga awal 2000, penggunaan data agregat merupakan satu kebiasaan namun selepas era berkenaan, pembuat dasar memerlukan data yang lebih terperinci.

“Akan tetapi data agregat mempunyai kelemahan di mana maklumat yang tidak terperinci sukar untuk menggambarkan situasi sebenar.

“Data granular pula mengandungi maklumat yang spesifik dan terperinci tentang suatu subjek dan ini membolehkan kerajaan melaksanakan program secara bersasar dan respon kepada krisis dengan berkesan, seterusnya meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian bersempena Persidangan Statistik Malaysia (MyStats) ke-10 yang turut dihadiri Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, di Sasana Kijang di sini, hari ini.

Bertemakan ‘Merentasi Sempadan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK): Ke Arah Kesejahteraan Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar’ Persidangan MyStats ke-10  sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Tema program anjuran bersama antara DOSM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Institut Statistik Malaysia itu juga selari dengan konsep Malaysia Madani yang merangkumi kesejahteraan ekonomi dan sosial, kelestarian alam sekitar dan kemampanan mutu hidup yang seimbang.

Mengulas lanjut, Hanifah Hajar berkata, penyelidikan merupakan proses sistematik untuk memperoleh pengetahuan baharu, pemahaman atau maklumat yang lebih mendalam tentang sesuatu topik atau fenomena tertentu.

Ujar beliau, Hasil daripada aktiviti penyelidikan antara lain dapat membantu membuat keputusan berdasarkan maklumat, penambahbaikan kualiti, pembentukan polisi awam, pemuliharaan alam sekitar, membantu kesiapsiagaan dalam pengurusan bencana dan pelbagai lagi.

Ahli Parlimen Mukah itu berkata, statistik rasmi merupakan teras kepada proses pembentukan dasar sosioekonomi negara dengan Jabatan Perangkaan (DOSM) memberikan perkhidmatan statistik yang berkualiti dan bertepatan masa dalam bidang ekonomi, sosial, demografi dan alam sekitar.

“Statistik rasmi yang diterbitkan DOSM digunakan untuk mengukur Ekonomi Madani yang bertujuan meningkatkan ekonomi Malaysia.

“Ia juga digunakan sebagai pengukur dalam pelbagai rangka pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan sentiasa komited dan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi dengan mempergiat pelaksanaan dasar-dasar sedia ada dan baharu demi kelangsungan hidup rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×