UEM Sunrise, Universiti Malaya jalin kerjasama

UEM Sunrise, Universiti Malaya jalin kerjasama

NIK Nazmi Nik Ahmad menyaksikan majlis pertukaran dokumen kerjasama antara Dr. Zulqarnain Mohamed (kiri) dan Zaida Khalida Shaari di Kiara Bay Sales Gallery, Kuala Lumpur. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise), melalui anak syarikat usahasamanya Mega Legacy (M) Sdn. Bhd. (MLMSB), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) untuk menilai kualiti air dan kandungan logam berat tasik di Kepong Metropolitan Park, seluas 72.74 ekar (29.4 hektar) di Kiara Bay, Kepong.

MoU bertujuan menilai kualiti air Tasik Taman Metropolitan Kepong untuk mengaktifkan pembangunan kawasan sekitar Kiara Bay bagi memastikan ia selamat untuk komuniti dan pelbagai aktiviti air.

Kerjasama itu juga menggariskan dua fasa inisiatif yang dibiayai melalui geran disediakan oleh UEM Group, syarikat induk UEM Sunrise.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerjasama dengan UM adalah untuk memulakan Fasa 1 peningkatan kualiti air di tasik berkenaan bagi memastikan airnya selamat untuk orang ramai.

“Ini akan dijalankan melalui penilaian air dengan menganalisis kualiti air, komposisi sedimen, tahap nutrien dan komuniti biologinya.

“Sebaik sahaja punca utama pencemaran dikenal pasti dan punca utama kemerosotan difahami, cadangan untuk meningkatkan kesihatan ekologi dan inisiatif rawatan air tasik akan dibentangkan kepada NRECC, sebagai tambahan kepada pengawal selia dan pihak berkuasa tempatan untuk tindakan susulan.

“Tasik Taman Metropolitan Kepong sebelum ini merupakan tapak perlombongan bijih timah, (dan penambahbaikan) bertujuan untuk keseronokan orang ramai dan masyarakat serta aktiviti rekreasi seperti berkayak atau berperahu.

“Itulah sebabnya penting untuk memastikan bahawa manusia dan haiwan akuatik tidak mengalami sebarang bahaya daripada potensi pencemaran,” katanya dalam ucapan pada majlis menandatangani MoU di sini, hari ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi MLMSB, Zaida Khalida Shaari dan Dekan Fakulti Sains UM, Profesor Dr. Zulqarnain Mohamed. Majlis disaksikan oleh Nik Nazmi;  Pengarah Urusan UEM Group Berhad, Datuk Mohd. Izani Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah.

Sementara itu, Sufian berkata, sebagai pemaju hartanah yang bertanggungjawab, UEM Sunrise menyedari keperluan untuk menyumbang kepada alam sekitar, masyarakat dan ekonomi dalam semua pembangunan dan perbandaran Syarikat, dengan memenuhi keperluan sosial, fizikal dan rohani masyarakat.

“Taman Metropolitan Kepong akan berfungsi sebagai kawasan rekreasi untuk orang ramai berkumpul,” katanya.

Dalam fasa satu kerjasama, dengan geran daripada UEM Sunrise sebanyak RM50,000, UM akan menguji kualiti air bagi memeriksa kandungan logam berat, sedimen dan kandungan mikrobiologi di tasik berkenaan.

Pemeriksaan tersebut akan menentukan langkah- langkah yang perlu diambil dalam fasa kedua, berdasarkan penilaian dan cadangan yang dikumpul, bagi memulikan kualiti air tasik.

Penilaian UM juga akan menentukan pembangunan reka bentuk Kiara Bay dan program pembuatan masa hadapan.

Pemulihan tasik akan menjadi asas dalam memelihara hidupan akuatik dan biodiversiti yang penting untuk ekosistem. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×