Misi Malbat – Umpama mati hidup semula - Utusan Malaysia

Misi Malbat – Umpama mati hidup semula

Kapten (B) Mazlan Fauzi - MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH:
“Peluru bersimpang siur, Ada ketika, kelihatan bebola api dari jauh. Saya tahu, itu adalah peluru pelancar roket (RPG) yang ditembak ke arah kami.”
“Waktu itu saya berdoa, agar peluru mortar juga tak hentam kenderaan kami,” katanya.
Demikian sebahagian perkongsian kisah bekas perajurit tanah air, anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan Kapten (B) Mazlan Fauzi, AMP anggota Batalion Malaysia (Malbat) sewaktu menyertai misi menyelamat pasukan tentera Amerika yang dikepung musuh dalam pertempuran di pasar Bakara, Somalia pada 1993. Sempena Hari Tentera Darat esok, ikuti wawancara eksklusif bersama wira negara ini, yang disertai wartawan Roshihan Annuar Yub, Aida Rizmariza Kamaruddin serta Fahmi Faiz. Ia turut disertai jurugambar Fauzi Baharudin serta juruvideo Mohd. Fikri Padil @ Fadzil.

MINGGUAN MALAYSIA: Boleh Kapten kongsikan perkembangan terkini?
MAZLAN: Saya kini berkhidmat dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebagai Pengurus Kanan, Pematuhan dan Pengurusan Perhubungan Pekerjaan. Tugas saya banyak membantu MAHB dalam hal-hal berkaitan undang-undang pekerjaan.

Masih berhubung dengan rakan-rakan sewaktu bertugas dulu, terutama sewaktu insiden Black Hawk Down?
Hubungan kami tidak pernah putus. Dalam era moden ini, apabila teknologi membantu komunikasi seperti WhatsApp dan Facebook misalnya, jadi kita sentiasa berhubung dalam kumpulan-kumpulan kita.

Jadi hubungan memang akrab?
Ya, bak kata orang dalam askar, dulu kita makan satu kawah, jadi bila sudah bersara ini walaupun sukar nak berjumpa, tapi kita tetap terus berhubung dan bertanya khabar.

MISI BATALION MALAYSIA (MALBAT)
Sejauh mana filem Black Hawk Down sama dengan kisah sebenar?
Filem itu mengisahkan tentera Amerika Syarikat yang menyelamatkan rakan mereka yang terperangkap dalam pasar Bakara. Kalau nak bercakap dari segi berapa peratus ketepatan filem berbanding keadaan sebenar, kita tak boleh dapat gambaran tepat. Setiap yang terlibat itu, ada cerita masing-masing dan kisahnya.

SOMALIA
Apa sebenarnya berlaku di Somalia?
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hantar pasukan pengaman ke sana adalah untuk mengembalikan keamanan dan juga memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Somalia akibat daripada perang saudara yang berpanjangan sejak 1991. Seingat saya perang saudara tercetus antara kumpulan Mohamed Farrah Aidid dan juga Ali Mahdi Muhammad.

MISI AD-HOC
Bagaimana insiden pertempuran tentera PBB dengan militia bermula?
Pasukan Task Force Ranger Amerika telah diatur gerak untuk menangkap panglima perang kumpulan Mohamed Farrah Aidid. Dia dari kumpulan Habar Gidir, yang waktu itu sedang bermesyuarat dalam kawasan Pasar Bakara di Mogadishu.

Apa berlaku waktu itu?
Operasi siang hari 3 Oktober 1993 itu tidak berjalan lancar seperti yang dirancang akibat tentangan hebat dari pasukan militia Mohamed Farrah Aidid. Memburukkan lagi keadaan, dua helikopter UH-60 Black Hawk ditembak jatuh. Maka bermulalah misi baru mereka pula.

Misi bagaimana?
Ia misi menyelamat anggota tentera yang terperangkap dalam Pasar Bakara ini. Ia disertai pasukan elit Amerika. Tak silap saya, 90 orang US Rangers dan anggota Delta Force yang terlibat.

SITUASI SEBELUM BERTEMPUR
Boleh ceritakan detik sebelum ia berlaku? Dan bagaimana pasukan Malaysia boleh dikerah?
Ketika itu saya dan pasukan iaitu platun 5 sedang ditugaskan membuat rondaan keselamatan sektor di kawasan bandar Mogadishu. Kemudian barulah kami dikerahkan untuk operasi tersebut.

Jadi bagaimana kapten dimaklumkan tentang misi menyelamat di pasar Bakara?
Semasa kami dalam perjalanan balik melalui persisiran Old Port, kami dihubungi ketua kompeni agar tidak balik ke markas, sebaliknya kami diarahkan bergerak ke New Port dan menunggu arahan selanjutnya.

TAK SEMPAT MAKAN
Sebelum tiba ke lokasi serangan, adakah pihak tentera diberi penerangan terperinci mengenai misi?
Sesampainya platun saya di New Port, saya terus melaporkan kepada ketua kompeni bahawa platun saya telah sampai dan mengambil kedudukan. Saya seterusnya diarahkan agar menunggu pasukan lain datang.

Jadi semua tertanya-tanya dan tak tahu hujung pangkal?
Ya. Saya dan anggota tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku. Sudahlah perut kami lapar tak makan tengah hari sebab sepatutnya bila sampai ke base, kami terus makan. Tak lama kemudian, ketua kompeni saya, Mejar Abdul Rashid Ahmad (Kompeni B) bersama platun No 4 (Panggilan 21) dan platun No 6 (Panggilan 23) pun sampai. Saya tanya apa berlaku.

Apa jawabnya?
Jawabnya, tunggu arahan selanjutnya. Kemudian kompeni A pula tiba. Tak lama kemudian kami dapat tahu tentera Amerika ada membuat operasi bersendirian di pasar Bakara dan mereka memerlukan bantuan dari pasukan Malaysia.

Bantuan bagaimana?
Kami dimaklumkan terdapat dua helikopter UH-60 Black Hawk US ditembak jatuh. Ia kerja kumpulan Farrah Aidid. Tentera Amerika terperangkap adalah pasukan yang cuba menyelamatkan juruterbang Blackhawk. Seterusnya pemerintah Malbat bersetuju memenuhi permintaan untuk membantu usaha menyelamat anggota tentera Amerika yang terperangkap.

Tindakan Kapten selanjutnya?
Saya beri arahan kepada platun sarjan dan juga koperal saya. Saya arahkan agar persiapan dibuat, termasuklah memastikan bekalan peluru cukup, keadaan senjata twin GPMG, rear gun dan night vision dalam keadaan baik dan ada cukup bateri. Semua anggota saya, saya arahkan makan ration tempur yang ada dalam kereta kerana semua masih belum makan tengah hari. Seterusnya saya dipanggil oleh ketua platun untuk menerima arahan bagi operasi menyelamat ini.

Apa misinya waktu itu?
Misi kami untuk membawa balik dengan selamat anggota ranger Amerika dan berundur ke pangkalan tentera sahabat iaitu Stadium Mogadishu.

Kenapa gelar ‘sahabat’?
Sebab ia dikawal oleh tentera pengaman PBB dari Pakistan.

ADA PERASAAN ANEH
Apa yang berlaku semasa pasukan kapten tiba ke tapak serangan?
Jika tidak silap saya, kami bergerak pada pukul 11 malam. Sepanjang menuju ke Objektif ini, saya dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dan mungkin perkara besar akan berlaku. Keadaan jalan raya agak sunyi. Sedangkan kalau malam-malam biasa, suasana jalan tersebut agak sibuk kerana orang Somalia ini suka lepak dan makan khat, (sejenis daun dikunyah seperti sirih), sambil main permainan macam dam.

Apa lagi perkara aneh malam itu?
Kami nampak ada pembakaran tayar. Dari pengalaman operasi sebelum ini, jika ada tayar dibakar, maknanya ada isyarat atau komunikasi yang ingin disampaikan antara orang Somalia ini. Ia isyarat kepada orang ramai ataupun sesama kumpulan mereka.

Bagaimana boleh nampak semua ini dengan jelas sedangkan naik kereta perisai?
Nampak suasana ini dengan jelas sebab kedudukan saya sebelah hatch rear gunner, kereta perisai atau APC kami waktu itu ialah jenis RPZ Condor. APC RPZ Condor ini ada tiga hatch atau lubang. Satu belakang pemandu, dua di belakang turret.
Kebiasaannya jika meronda saya keluarkan badan sama ada di hatch belakang pemandu atau pun hatch sebelah penembak belakang.
Bagi saya mudah pantau dengan separuh badan keluar dari hatch. Kebetulan dari kedudukan itu, saya boleh tembak lebih tepat gunakan raifal M16 saya.

Maksudnya kedudukan kapten sangat terdedah?
Ya. Pelindungan saya pada malam tersebut bergantung kepada beberapa beg pasir yang diletakkan di sekeliling lubang hatch. Pelindung kepala memang tiada sebab saya pakai topi keledar plastik yang dipasang alat komunikasi. Ini bukan topi keledar tempur jenis besi yang sering dipakai anggota tentera. Sekiranya peluru pada malam itu singgah ke kepala saya, tak tahu lah apa akan jadi, jika panjang umur hidup, jika pendek umur mati.

TEMBAKAN BERTUBI-TUBI
Apa berlaku saat tiba di kawasan pasar Bakara?
Ketika bergerak kumpulan Pakistan enggan mendahului konvoi kerana mereka tiada alat pandang malam. Jadi, kumpulan penyelamat malam itu didahului oleh Platun 4, Leftenan Zunaidi Hassan.

Kemudian apa berlaku?
Seingat saya, platun 4 memaklumkan platunnya telah memasuki kawasan digelar strong point 207 di pasar itu. Kemudian dia beritahu ketua kompeni bahawa mereka menerima tembakan dan salah satu kereta APC platun beliau telah hilang dari pandangan.

Platun kapten pula bagaimana?
Platun saya terus bergerak dan tidak lama kemudian kami dihujani tembakan. Saya telah mengarahkan platun agar melepaskan tembakan ke arah musuh bagi membolehkan platun saya memenangi firefight. Memenangi firefight pada awal pertempuran adalah penting kerana ini menghalang pihak militia dari aim (membidik) kita.

DIBEDIL MORTAR, RPG
Boleh kongsikan detik getir waktu itu?
Kereta perisai kami dihujani peluru. Keadaan agak bising dengan bunyi tembakan bertali arus. Kami terus menembak dan bergerak ke hadapan dan pada masa itu juga kami dihujani tembakan senjata berat seperti mortar dan RPG.

Apa berlaku kemudian?
Memandangkan kami telah hampir ke Objektif, saya diarahkan untuk menurunkan anggota tentera Amerika yang berada di dalam kereta kami. Setelah mereka turun kami pun bergerak bersama-sama, yang mana mereka mengunakan kenderaan perisai kami sebagai pelindungan.

Apa berlaku lepas sampai ke Objektif?
Kami bersama-sama anggota tentera Amerika menembak ke arah musuh. Sebaik sampai, saya diarahkan oleh ketua kompeni agar kekal di kedudukan. Kemudian beliau arah platun 6 yang diketuai Leftenan Muda Khairul Anuar Abdul Aziz melintasi saya dan bergerak ke bangkai helikopter yang terhempas. Saya terus berada dalam kedudukan sambil membalas tembakan yang datang bertubi-tubi dari senjata ringan, mortar dan RPG. Ini bagi membolehkan usaha platun 6 untuk merapati bangkai helikopter tersebut.

MAYAT BERGELIMPANGAN
Apa yang kapten lihat sepanjang perjalanan berundur?
Kami berundur ketika hampir pagi. Dalam perjalanan saya dapat lihat mayat bergelimpangan dan juga mereka yang cedera. Yang tidak dapat saya lupakan bila melihat seorang tua yang mengengsot atas jalan akibat cedera dan seorang lelaki yang mendukung kanak-kanak yang cedera.

STADIUM MOGADISHU
Bagaimana pertempuran itu tamat? Berjayakah misi menyelamat itu?
Setelah sekian lama bertempur, keadaan menjadi semakin terkawal. Saya menerima arahan dari ketua kompeni agar bersedia untuk menerima anggota tentera Amerika dan membuat persiapan untuk berundur. Tidak lama kemudian tentera Amerika yang diselamatkan masuk dalam APC kami. Seterusnya ketua kompeni arahkan saya agar mengetuai misi pengunduran ke stadium Mogadsihu.

CAPATI PALING KERAMAT
Perjalanan balik juga detik yang kritikal?
Waktu ini amat kritikal sebab kena tengok peta dan arahkan kenderaan platun agar ikut route yang betul. Seingat saya, saya bergerak di hadapan sekali sebab hendak pastikan kami bergerak dengan lancar dan ikut route yang dirancang. Sebaik sampai ke stadium, kami diberikan makan oleh tentera Pakistan dan saya tidak lupa capati yang saya makan itu amat bermakna kerana itulah makanan pertama setelah orang kata “mati hidup semula”. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×