KOTA BHARU: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menggunakan dikir buskers bagi memupuk kesedaran rakyat berkaitan hak sebagai pengguna.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, dikir buskers diilhamkan daripada dikir barat yang diberikan suntikan lebih segar melibatkan penggunaan alat-alat muzik moden seperti gitar.
Katanya, pemilihan itu lebih tepat kerana mesej tersebut disampaikan menerusi bait-bait lagu menggunakan dialek negeri ini.
“Bila guna dialek Kelantan, mesej yang hendak kita sampaikan lebih mudah sekali gus ‘melekat’ dalam kepala mereka.
“Ini adalah salah satu inovasi baharu yang kita perkenal dengan tujuan rakyat tahu hak-hak mereka sebagai pengguna,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Azman memberitahu, usaha yang dirintis sejak awal tahun ini mendapat respons positif dalam kalangan masyarakat.
Katanya, ramai pengguna mengakui pendekatan itu memudahkan mereka untuk lebih memahami mesej berkait dengan kepenggunaan secara jelas.
“Kita akan memperhebat usaha pendidikan supaya mereka tahu hak sebagai pengguna dan bagaimana hendak membuat laporan jika berdepan dengan masalah melihatkan kepenggunaan,” katanya. – UTUSAN











