PASIR PUTEH: Seorang remaja 16 tahun antara 43 nelayan asing Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan selepas menceroboh perairan negara 277.8 kilometer (km) dari Kuala Tok Bali, di sini semalam..
Kesemua nelayan asing berusia 16 hingga 61 tahun itu ditahan bersama empat bot menerusi operasi bermula 8 pagi hingga 2.50 petang.
Timbalan Pengarah Operasi APMM Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, sebanyak 6,000 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis turut dirampas dalam operasi tersebut.
Katanya semasa ditahan kesemua bot nelayan asing itu tidak memberi kerjasama sebaliknya cuba bertindak melarikan diri dengan memecut laju meninggalkan sempadan perairan sebaik sahaja anggota Maritim Malaysia memberi arahan untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun, semuanya berjaya dipintas. Untuk makluman semua, kita berjaya menahan bot pertama pada pukul 8.18 pagi bersama lima nelayan Vietnam termasuk seorang tekong.
“Pada pukul 9.01 pagi, Maritim Kelantan sekali lagi menahan sebuah bot yang dinaiki oleh 17 nelayan Vietnam termasuk tekong. Semasa mengiringi kedua-dua bot-bot tersebut balik ke pangkalan operasi, kita melihat dua buah lagi bot nelayan asing yang dalam keadaan mencurigakan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Kelantan di Tok Bali, di sini semalam.
Khairun Dalilah berkata, kedua-dua bot itu kemudian ditahan pada pukul 2.32 dan 2.50 petang.
Katanya, penahan kedua-dua bot itu membawa kepada tangkapan 20 nelayan termasuk tekong.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kesemua 43 nelayan asing Vietnam itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
“Selain ikan dan bot, kita merampas peralatan menangkap ikan, alat navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel sebanyak 7,000 liter yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM3.86 juta,” ujarnya.
Katanya, kesemua nelayan asing i disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. – UTUSAN










