HEBOH satu dunia sekarang makanan tidak cukup. Negara pengeluar beras seperti India dan Vietnam, dua negara dianggap antara jaguh beras dunia hari ini sudah cukup untuk mencetuskan panik kepada negara-negara dunia yang bergantung kepada nasi sebagai makanan ruji.
Malaysia tidak kurang panasnya terkena tempias kenaikan harga dan ketidakjaminan makanan terutama dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dan bukan sahaja beras menjadi isu tetapi juga pelbagai bekalan makanan lain. Bermula ketika musim Covid-19 pada 2020, krisis makanan dunia mula menjadi semakin serius berpunca daripada isu rantaian bekalan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh dunia.
Sebenarnya seluruh dunia sudah bercakap tentang keselamatan dan keterjaminan makanan secara serius sejak 20 tahun lalu. Ramalan tentang peningkatan penduduk dunia, kekurangan tanah subur, pemanasan global, bencana alam dan sengketa geopolitik yang akan menyumbang kepada masalah sekuriti makanan dunia sudah lama diberi amaran dan nasihat oleh pelbagai pihak.
Namun begitu, tanpa kita bercakap tentang negara lain, apakah kita sudah bersedia dalam tempoh 30 tahun lalu? Apa pula perancangan dan gerak kerja baharu kita menuju masa depan?
Pertama kali saya didedahkan tentang isu sekuriti makanan pada 1991 apabila menyertai kem pidato pelaburan melibatkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB). Antara mentor kami ketika itu ialah Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim (Ketua Pegawai Eksekutif PNB) yang bukan sahaja membimbing kami dalam aspek pelaburan tetapi juga isu-isu ekonomi masa depan termasuk sekuriti makanan.
Ini membawa iltizam saya untuk terlibat dalam sektor pertanian dan industri makanan sama ada dalam rantaian bekalan mahupun pembangunan modal insan bagi sektor pertanian secara serius sejak 2005. Saya masih berasa agak terlewat memulakan langkah kerana semangat sekuriti makanan saya hanya tersuntik semula oleh beliau dalam satu pertemuan di rumah Tengku Razaleigh Hamzah ketika beliau mula serius dalam politik sekitar tahun tersebut.
Namun, saya amat bertuah kerana Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) memberi peluang keemasan kepada saya untuk menjayakan dasar sekuriti makanan yang menjadi teras wawasannya Pak Lah kepada negara. Beliau mengingatkan saya tentang usaha merakyatkan pertanian terutama dalam kalangan generasi muda.
Saya sahut cabaran Pak Lah itu dengan meningkatkan minat belia yang mendalam dalam sektor pertanian. Jika sebelum itu, jumlah belia yang mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam sektor pertanian bergantung kepada kolej-kolej pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hanyalah sekitar 500 orang di semua pusat seluruh negara, dalam masa tiga tahun, meningkat kepada 4,000 setahun. Saya sendiri berjaya melatih separuh daripada jumlah tersebut.
PROMOSI MENGGILA
Dengan promosi menggila, saya berjaya membantu kerajaan mempromosikan pelbagai aktiviti pertanian secara komuniti umpama sebuah Kementerian Pertanian. Utusan Malaysia paling banyak bekerjasama secara strategik dengan saya terutama kempen pertanian peringkat sekolah di seluruh negara seperti Pertandingan Khat Jawi Pertanian, Cabaran Agro X-Race setiap tahun dan Anugerah Agro Remaja Sekolah-Sekolah Menengah Malaysia 2010. Enrolmen belia meningkat mendadak hasil semua usaha tersebut.
Apabila saya dilantik menganggotai pelbagai jawatankuasa penasihat pertanian, pendidikan dan keusahawanan peringkat pusat dan negeri, saya berusaha mewujudkan pelbagai program pertanian berasaskan komuniti dari sektor huluan sampailah hiliran.
Kemuncaknya, kejayaan saya terlibat secara aktif menjayakan program komuniti pertanian generasi muda, iaitu program Kerjasama Lautan Biru Kebangsaan, My Kampung, My Future (MKMF) dari Kampung Merotai, Tawau, Sabah hinggalah ke Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah. Saya tidak tahu apa yang berlaku di kampung lain di seluruh negara hari ini tetapi MKMF Mukim Pulau Tiga telah berkembang dan masih bertahan hingga kini.
Hasil usaha kami dengan pelbagai pihak, program tersebut berjaya menjadi inspirasi belia dan komuniti seluruh negara menjayakan pertanian secara komuniti. Antara paling ketara kejayaannya ialah Program Akuagro Rukun Tetangga seluruh Johor yang antaranya berinspirasikan gerak kerja komuniti pertanian Perak Tengah melalui Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah.
Program Akuagro dan kesinambungan MKMF berjaya membuktikan antara penyelesaian masalah sekuriti makanan hari ini dan masa depan adalah dengan merakyatkan sekuriti makanan. Sebagai pembimbing/mentor program Akuagro Johor, saya sendiri mencadangkan tema yang menjadi panduan gerak kerja Rukun Tetangga (RT) dalam sekuriti makanan, iaitu Merakyatkan Perpaduan Melalui Sekuriti Makanan Komuniti.
Laporan keberhasilan awal Akuagro RT Johor dikongsikan pada Julai lalu menunjukkan projek tersebut bukan sahaja menepati matlamat utama, iaitu meningkatkan perpaduan tetapi juga peranan kejiranan setempat menghasilkan pelbagai produk pertanian dan industri hiliran yang lebih terjamin, selamat, mampu beli, harga berpatutan dan berkhasiat. Inilah yang menjadi teras konsep sekuriti makanan ditetapkan oleh Pertubuhan Makanan Antarabangsa (FAO), iaitu akses makanan, mampu dimiliki, ketersediaan diperoleh dan berkhasiat.
Merakyatkan sekuriti makanan bukanlah perkara baharu kerana Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Husein juga pernah memperkenalkan Dasar Buku Hijau dan Gerakan Bumijaya pada 1974 bagi mengekang inflasi, stagflasi dan keterjaminan makanan. Maka kita perlu mengembalikannya dengan pendekatan, cara, kaedah, teknologi serta iltizam baharu.
Semua parti politik dan gabungan masing-masing yang menjadi pemerintah di negara ini akhir-akhir ini sudah teruji dengan keupayaan masing-masing untuk menangani isu keterjaminan makanan. Di sinilah rakyat dapat menilai sama ada kerajaan mampu menanganinya dengan baik atau sekadar beretorik.
Jangan takut dan teragak-agak untuk menggunakan kepakaran kami yang berpengalaman jika hasilnya jauh lebih cepat, cekap, jimat dan berkesan.-UTUSAN
PENULIS ialah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (GROW).











