Wajibkan bahasa Melayu jadi pengantar sekolah vernakular

Wajibkan bahasa Melayu jadi pengantar sekolah vernakular

AWANG SARIYAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu membuat keputusan tegas mengarusperdanakan sekolah vernakular supaya bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama di sekolah itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, cendekiawan, perancang bahasa dan tokoh persuratan, Senator Datuk Seri Profesor. Dr. Awang Sariyan berkata, beliau sudah lama mencadangkan perkara itu, namun tidak diambil serius oleh kerajaan.

Menurut beliau, langkah itu bagaimanapun boleh dimulakan secara beransur-ansur bermula dengan beberapa subjek diajarkan menggunakan bahasa Melayu sehingga mencapai sekurang-kurangnya 75 peratus subjek lain diajarkan dalam bahasa Melayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar, maka murid-murid dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan lebih baik sebelum masuk ke sekolah menengah.

“Jika itu berlaku, maka kelas peralihan tidak diperlukan lagi untuk memberikan pendedahan kepada pelajar yang gagal menguasai bahasa Melayu ketika berada di sekolah jenis kebangsaan,” katanya di sini semalam.

Beliau diminta mengulas pandangan Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berhubung kelas peralihan yang sewajarnya tidak wujud lagi pada masa ini kerana negara sudah 66 tahun merdeka.

Kelas tersebut juga menggambarkan sekolah vernakular gagal memartabatkan bahasa Melayu sepenuhnya dalam kalangan pelajar mereka sekali gus merugikan masa pelajar, malah memalukan negara kerana masih wujud pelajar yang gagal menguasai bahasa kebangsaan di peringkat sekolah rendah.

Dianggarkan terdapat kira-kira 2,000 kelas peralihan ketika ini melibatkan kira-kira 60,000 pelajar di seluruh negara.

Awang yang juga Tokoh Guru Suluh Budiman UPSI 2023 berkata, pada masa ini bahasa Melayu hanya dijadikan salah satu subjek di sekolah vernakular dan semua subjek lain sepenuhnya diajarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Katanya, keadaan itu menyukarkan murid-murid menguasai bahasa kebangsaan dengan berkesan apabila melangkah masuk ke sekolah menengah. Selain itu, langkah itu juga penting bagi membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

“Selagi bahasa kebangsaan tidak dijadikan bahasa pengantar, maka ada keperluan kelas peralihan diwujudkan kerana jika tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik ia mencacatkan keupayaan menguasai ilmu di sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan bahasa kebangsaan juga termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.

“Sekolah-sekolah vernakular ini juga sebahagian peruntukannya di bawah tanggungan kerajaan, termasuk gaji guru dan kemudahan fizikal. Maka wajar sekolah itu diarusperdanakan sebagai sebahagian Sistem Pendidikan Kebangsaan.

“Sampai bila kita patut menghadapi masalah perpaduan dan jurang kefasihan dalam bahasa negara jika tidak dimulakan di peringkat sekolah. Ini perkara serius yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan, terutama Kementerian Pendidikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini