GEG bakal rancakkan perdagangan haram?

GEG bakal rancakkan perdagangan haram?

AKTIVITI penyeludupan rokok dan vape dijangka meningkat dengan ketara sekiranya kerajaan menaikkan cukai mudarat tetapi tidak bersedia dari segi sumber dan modal insan untuk menangani peningkatan itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Generasi Penamat (GEG) dijangka bakal menyebabkan aktiviti perdagangan haram dalam negara meningkat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai Exco Kesihatan kerajaan Pulau Pinang sebelum ini, beliau berpendapat GEG akan gagal kerana kekurangan sumber dan modal insan.

“Di Malaysia, perdagangan haram berleluasa dan pada pandangan saya, GEG akan gagal, sama seperti bagaimana Pulau Pinang cuba melakukannya sebelum ini. Kita perlu memberi tumpuan kepada cara mengawal rokok.

PERATURAN

“Pada masa ini tiada peraturan vape (rokok elektronik) dan tiada peraturan pada tahap nikotin. Dapatkan sokongan daripada semua orang bukan sahaja daripada penguatkuasaan tetapi juga untuk komuniti.

“Juga bukannya menumpukan pada memperkenalkan RUU baharu. Kedai makan masih ada orang merokok, penguatkuasaan perlu ada. Saya fikir menyokong pendidikan masyarakat adalah jauh lebih penting daripada mengenakan undang-undang baharu”, katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kedai Kopi Petaling Jaya, Kue Kok Meng berkata, sehingga kini penguat kuasa undang-undang tidak boleh mengawal undang-undang semasa seperti merokok di kedai makan.

“Di kedai kopi, saya tidak nampak penguat kuasa datang untuk melarang orang mero­kok. Kerajaan dah buat semua iklan tapi orang masih mero­kok. Yang paling penting tanggungjawab penguatkuasaan perlu dilakukan oleh badan penguatkuasa dan bukannya kedai kopi,” katanya.

Aktivis masyarakat, Benedict Weerasena berkata, sehingga Mei 2021, jumlah rokok haram terus meningkat dan ia menekankan kepentingan penguatkuasaan dalam menangani isu perdagangan haram sebelum memper­kenalkan dasar GEG.

“Kesan ke atas GEG bagi peruncit ialah kehilangan hasil, kos pematuhan, kos peralatan, kos pemantauan, kos peluang dan yuran guaman. Berdasarkan kajian kami, jumlah kos penguatkuasaan untuk GEG dianggarkan sebanyak RM 303 juta setahun termasuk kos trek tembakau, kempen kesedaran awam, kos pentadbiran, penguatkuasaan tambahan untuk menyekat pertumbuhan pasaran rokok haram.”

“Kita tidak mahu jadi seperti Afrika Selatan pada Mac 2020 kerajaan mereka memperkenalkan larangan ke atas penjualan produk tembakau. Tetapi 93 peratus perokok masih boleh terus membeli rokok dan harga purata meningkat sebanyak 250 peratus.

“Sekiranya perkara ini tidak dikawal ia menghasilkan persepsi negatif bahawa negara kita lebih mengutamakan penyeludupan berbanding sumber yang sah,” jelasnya.

Sementara itu, Pusat Pilihan Pengguna (CCC) berusaha mendapatkan pandangan alternatif daripada pakar pelbagai bidang bagi menilai dan meneliti RUU GEG secara komprehensiff.

CCC juga bercadang menyediakan cadangan penambahbaikan rang undang-undang kepada Jawatankuasa Pilihan Khas, KKM dan penggubal dasar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×