Sanusi dakwa Kedah seperti sudah dipecat daripada Malaysia

Sanusi dakwa Kedah seperti sudah dipecat daripada Malaysia

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempersoalkan sama ada Kedah telah ‘dipecat’ daripada Malaysia berikutan tindakan kementerian tertentu menghalang jabatan dan agensi di bawah mereka daripada menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri.

Menurutnya, halangan itu merangkumi semua bidang dengan yang terbaru adalah berkaitan penganjuran Hari Sukan Negara walaupun sebelum ini program di peringkat negeri dipengerusikan oleh Exco sukan masing-masing.

“Namun sekarang ini di Kedah, Kelantan dan Terengganu, diberikan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk melaksanakan Hari Sukan Negara tanpa melibatkan negeri. Dalam masa sama, mereka nak ‘pakai’ pegawai-pegawai daerah (DO) kerana pengerusi majlis sukan di daerah adalah pegawai daerah.

“Exco sukan ‘depa’ tak mahu pakai tetapi DO mereka mahu. Saya rasa tak sihat politik macam itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Kulim Technology Park Corporation (KTPC) di sini, semalam.

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr. Haim Hilman Abdullah meminta penjelasan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sama ada wujud arahan dikeluarkan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi melarang mereka terlibat dengan sebarang program dianjurkan kerajaan negeri Kedah.

Haim meminta penjelasan berhubung perkara itu kerana beliau mendakwa, beberapa IPTA telah menolak jemputannya untuk terlibat dalam program mahasiswa anak Kedah dengan institusi tersebut memberi alasan, mereka tidak dibenarkan kementerian atau jabatan bertanggungjawab bagi melibatkan diri.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, beliau pernah bertanyakan kepada pihak tertentu yang memaklumkan arahan tersebut tidak dibuat secara bersurat sebaliknya dikeluarkan secara lisan.

Dalam pada itu beliau mendakwa, seorang pengetua sekolah di negeri ini turut dipanggil pihak berkaitan hanya kerana seorang wakil rakyat hadir ke sekolah berkenaan bagi menyaksikan anaknya yang terlibat dengan sukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×