SEBENARNYA sudah ramai mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia pada 4 September lalu yang menyiarkan berita mengenai hanya 15.2 peratus atau 62,250 daripada kira-kira 415,000 pelajar tingkatan tiga di seluruh negara memilih aliran sains ketika menjejakkan kaki ke tingkatan empat bagi sesi 2023/2024.
Jumlah itu menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan negara yang mahu melahirkan bakat bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) tempatan bagi mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Mengulas isu sama, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam kolum beliau di akhbar ini pada 14 September lalu turut menekankan kepentingan aliran sains dengan memetik kenyataan ahli fizik terkemuka dari Amerika Syarikat (AS), Albert Einstein (1879-1955), “Sains tanpa agama adalah tempang, agama tanpa sains adalah buta.”
Sebenarnya Einstein juga pernah mengeluarkan beberapa kenyataan lain yang boleh dijadikan panduan bagi memupuk minat pelajar terhadap bidang sains. Antaranya beliau menyatakan,
“Jika anda mahu anak anda menjadi pintar, bacalah mereka cerita dongeng. Jika anda mahu mereka menjadi lebih bijak, bacalah lebih banyak cerita dongeng.”
Dalam satu ungkapan lain, beliau menyebut, “Imaginasi lebih penting daripada pengetahuan. Pengetahuan adalah terhad. Imaginasi mengelilingi dunia.”
Imaginasi atau dongeng boleh dikaitkan dengan fiksyen sains. Menurut takrif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), fiksyen sains ialah cerita khayalan yang dicipta dengan mengambil fakta sains, andaian dan hipotesis (sesuatu pendapat yang dianggap benar walaupun kebenarannya masih belum dibuktikan) sebagai dasar cerita.
Sebenarnya banyak perkara yang dianggap fiksyen sains telah menjadi kenyataan pada waktu sekarang seperti dipaparkan dalam filem keluaran Hollywood, 2001: A Space Odyssey pada 1968.
Antara paparan dalam filem itu yang telah menjadi kenyataan sekarang ialah iPad, kecerdasan buatan (AI), telesidang, sistem pandu arah berkomputer dan televisyen panel rata.
Saya juga sehingga kini masih ingat kandungan sebuah buku pernah dibaca ketika remaja yang ditulis oleh bekas penyelidik di Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS mengenai kajian dilakukan dalam bidang remote viewing (RV) bagi membolehkan agensi itu menggunakan minda separa sedar untuk mengakses maklumat.
Beberapa kandungan dalam buku itu ditulis berdekad-dekad dahulu yang boleh dianggap fiksyen sains bakal menjadi kenyataan termasuk topik mengenai Malaysia menyatakan akan wujud jaringan laluan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
HOLLYWOOD
Cukup menarik dalam buku itu juga ada menyebut satu perkara yang setakat ini masih boleh dianggap sebagai khayalan, iaitu sebuah wilayah atau negara akan membuat permohonan secara rasmi untuk menyertai Malaysia sekali gus menjadi negeri ke-15.
Dalam pada itu, kajian oleh universiti penyelidikan di AS, Massachusetts Institute of Technology (MIT) juga mendapati banyak penyelidik ditemu bual mengakui peranan penting yang dimainkan oleh fiksyen sains sama ada berbentuk filem atau buku dalam mencetuskan minat mereka terhadap bidang sains dan teknologi pada usia muda.
Sekiranya wujud kesukaran untuk memasukkan topik-topik berkaitan fiksyen sains dalam kurikulum sains di sekolah, mungkin boleh diadakan lebih banyak program yang menampilkan aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh serta menayang filem dan drama lakonannya di sekolah-sekolah.
Bintang Asia pertama merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 banyak memegang watak-watak dalam filem dan drama fiksyen sains keluaran Hollywood. Antaranya sebagai Kapten Philippa Georgiou dalam siri televisyen 55 episod dari 2017 hingga 2021, Star Trek: Discovery.
Beliau juga berjaya menang Oscar setelah membawa watak imigran China di AS, Evelyn Quan Wang dalam filem fiksyen sains bertajuk Everything Everywhere All at Once. Dalam filem itu diperkenalkan konsep-konsep fizik termaju seperti multiverse (multimesta) dan parallel universe (alam semesta selari).
Sebenarnya kita boleh menyifatkan Michelle yang telah membintangi kira-kira 30 filem sebagai aset negara sama seperti pelakon lebih 100 filem Bollywood, Shah Rukh Khan yang kembali gah dengan filem terbaharu, Jawan.
Bilionair India yang juga Pengerusi syarikat automotif Kumpulan Mahindra, Anand Mahindra dalam catatan menerusi platform X pada 8 September lalu memuji perkongsian video promosi filem Jawan oleh Shah Rukh Khan sambil menyatakan, “Semua negara menjaga sumber mineral semula jadi mereka dan melombongnya dan biasanya mengeksportnya untuk mendapatkan tukaran mata wang asing.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk mengisytiharkan Shah Rukh Khan sebagai sumber asli…,” tulisnya.
Cuma satu perkara yang harus dilakukan sebelum filem dan drama lakonan Michelle ditayangkan di sekolah-sekolah, iaitu ‘mencuci bersih’ unsur-unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang memang banyak terdapat dalam karya-karya Hollywood.
Kita orang dewasa mungkin menganggap langkah memupuk minat pelajar dengan cara itu tidak akan berjaya dan memandang remeh filem dan drama fiksyen sains sambil menyifatnya sebagai mengarut.
Tetapi bagi golongan muda, ia adalah langkah cukup berkesan untuk menyuburkan daya imaginasi mereka dengan konsep-konsep baharu dan menarik minat mengambil aliran sains.
Perkara itu dijelaskan oleh pencipta roket V-2 Jerman, Wernher von Braun, “Saintis yang telah berumur akan menolak sama sekali konsep-konsep baharu sehinggalah mereka mati sebaliknya ahli sains muda akan menerima konsep-konsep baharu itu.” – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










