TEMERLOH: Pengurusan Felda perlu mengemas kini pangkalan data buruh ladang sawit yang aktif dan produktif terutama melibatkan pekerja rakyat tempatan.
Setakat ini, dilaporkan kira-kira 30,000 buruh ladang sawit di bawah kendalian Felda manakala secara keseluruhan berjumlah 200,000 orang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, selaras peningkatan pembelian minyak sawit Malaysia dari China, Felda perlu meningkatkan usaha bagi menarik lebih ramai pekerja tempatan menceburi sektor perladangan.
Katanya, banyak faktor perlu disediakan untuk ‘memancing’ pekerja tempatan seperti gaji yang sesuai, kemudahan perubatan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Socso, perlindungan insurans serta penginapan yang selesa.
“Lonjakan permintaan minyak sawit di pasaran dunia secara langsung meningkatkan harga komoditi itu yang memberi pulangan ekonomi lebih baik kepada warga Felda.
“Namun, isu kekurangan pekerja tempatan menceburi sektor ini yang sekian lama tiada penyelesaian memerlukan usaha berterusan Felda,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Sime Darby Oils International Ltd. (Sime Darby Oils) dengan GuangXi Beibu Gulf International Port Group (GuangXi Beibu) akan menyaksikan pembelian minyak sawit dari China meningkat daripada 250,000 tan setahun kepada 500,000 tan setahun.
Dalam pada itu, Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Felda (DPBF) Malaysia, Datuk Mohd. Mokhtar Ghazali berkata, hasrat China menambah import minyak sawit Malaysia adalah berita baik kepada Felda dan ladang swasta di negara ini.
“Berdasarkan beberapa siri perjumpaan dengan generasi baru Felda, ramai berminat menjadi tenaga buruh ladang, tetapi mereka khuatir nasib tidak terbela,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi AMBFM Wilayah Jengka, Datuk Nordin Wahid pula berkata, China adalah sasaran ’emas’ selain India buat minyak sawit Malaysia yang berpotensi meningkatkan harga komoditi itu di pasaran antarabangsa.
Justeru, ujarnya, Felda perlu segera mengatasi kemelut status tenaga buruh tempatan dan asing bagi menarik lebih ramai generasi muda tertarik menggantikan keluarga di kawasan tanah rancangan.
Pengerusi Biro Sosial dan Ekonomi Gabungan Ketua-Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Razak Daud yang teruja dengan perkembangan itu yakin Felda mampu membekalkan minyak sawit mengikut permintaan negara besar ekonomi dunia itu. – UTUSAN











