KUALA KEDAH: “Kami tidak mahu menyusahkan anak menantu sebab itu pilih duduk di pondok ini. Lagipun, pondok ini sejuk.”
Demikian luah Zaimah Mohd Yusof, 54, yang menduduki sebuah pondok berdindingkan kanvas bersama suaminya, Mat Saad Abu, 53, di Kampung Kebun Pinang di sini, sejak setahun lepas.
Zaimah yang lumpuh anggota badan kirinya berkata, mereka pernah menginap di rumah menantunya yang terletak bersebelahan pondok berkenaan sejak berpindah dari Perak ke Kedah pada tahun lepas.
“Sebelum ini suami dan saya tinggal di Kuala Kangsar, Perak tetapi tahun lepas bila suami hilang kerja kami balik Kedah sebab suami orang Changlun. Kami tidak ada rumah pusaka sebab itu terpaksa menumpang sana sini. Sebelum ini, beberapa bulan kami menumpang rumah menantu.
“Saya berasa tidak selesa di rumah itu sebab terlalu panas. Sebab terlalu panas juga saya terkena strok tahun lepas terus lumpuh. Lepas lumpuh saya minta suami buat pondok ini di tanah milik menantu,” katanya ketika ditemui di pondok itu semalam.
Menurut Zaimah, walaupun menduduki pondok yang serba daif malah tanpa kemudahan bilik mahupun tandas, mereka tetap hidup selesa.
“Malam sejuk, siang hari pun taklah panas sangat. Bila nak mandi kami ke rumah menantu. Memanglah serba daif tetapi inilah ‘syurga’ kami.
“Nak menyewa memanglah tak mampu sebab suami hanya buat kerja kampung dengan upah RM40 sehari, macam mana nak sewa? Nak minta tolong anak-anak, mereka pun orang susah,” katanya yang mempunyai tiga anak.
Di sebalik itu kata Zaimah, mereka berdua masih berharap untuk memiliki rumah yang selesa bagi menghabiskan sisa-sisa hidup.
“Suami ada tanah pusaka di Changlun, harap dapat bina rumah di situ. Kalau rumah kecil pun tak apalah. Tetapi nak bina sendiri memang kami tak mampu lagi. Kalau ada yang nak tolong kami bersyukur sangat,” katanya.
Katanya, setakat ini mereka tidak memperoleh apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak dan bergantung harapan kepada menantunya itu yang bekerja kampung.
Bagi mereka yang ingin membantu pasangan ini boleh menyumbang ke akaun milik Zaimah, BSN – 0820029000172174.
Dalam pada itu menurut Mat Saad, dia terpaksa berpindah ke Kedah kerana sukar memperoleh pekerjaan di Perak setelah 30 tahun merantau ke negeri itu.
“Dahulu kerja potong rumput tepi lebuh raya dan apabila syarikat kontraktor itu sudah habis kontrak, saya pun hilang kerja. Pernah minta kerja lain tetapi tak dapat. Jadi kami pilih pulang ke Kedah.
“Saya ambil upah kerja kampung di kawasan ini sebab kalau jauh susah kerana saya tidak ada kenderaan,” katanya. – UTUSAN










