Kementerian Sumber Manusia komited wujud kursus baiki EV

Kementerian Sumber Manusia komited wujud kursus baiki EV

Mustapha Sakmud mengunjungi salah satu gerai pameran pada Karnival TVET Madani Jom Pilih Kemahiran Zon Tengah di CIAST Seksyen 19 Shah Alam, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Sumber Manusia akan memperkenalkan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk kenderaan elektrik (EV) tidak lama lagi bagi memastikan negara cukup bersedia memenuhi permintaan pengguna kenderaan tersebut satu hari nanti.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, menjelang era Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 industri automotif turut melalui fasa kenderaan yang lebih canggih dari aspek teknologi.

“Kerajaan sentiasa mengambil maklum perkembangan industri automotif iaitu EV keluaran Tesla yang akan masuk secara besar-besaran ke negara ini.

“Sehubungan itu kita komited untuk memperkenalkan kursus kemahiran EV di institut latihan seperti di Pusat Latihan Pengajar Dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) dan lain-lain,” katanya selepas merasmikan Karnival TVET Madani Jom Pilih Kemahiran Zon Tengah di CIAST Seksyen 19 di sini , semalam.

Mengulas mengenai program tersebut, Mustapha berkata, pihaknya telah menganjurkan enam siri karnival TVET di Sabah, Negeri Sembilan, Perlis, Sarawak, Kedah dan Selangor.

“Seramai 20,000 pengunjung telah hadir ke Karnival TVET setakat ini dan siri terakhir akan diadakan di Pantai Timur tidak lama lagi, namun lokasinya belum diputuskan lagi.

“Program siri jelajah ke enam ini merupakan platform terbaik dalam memberikan pendedahan awal berkenaan program pendidikan TVET yang ditawarkan oleh penyedia latihan awam dan swasta khususnya di negeri ini,” ujarnya.

Tambahnya, kementerian turut mengumumkan CIAST di sini sebagai pusat kecemerlangan program (COE) kemahiran, WorldSkills yang mana sempena karnival tersebut sebanyak lima ‘hab’ aktiviti kemahiran diwujudkan.

Antaranya adalah ‘Skills Exhibition Hub’, ‘Skills Seminar Hub’, ‘Skills Challenge Hub’, ‘Skills Competition Hub’ dan ‘Skills Entrepreneur Hub’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×