5G: CelcomDigi masih dalam perbincangan dengan kerajaan 

5G: CelcomDigi masih berbincang dengan kerajaan 

IDHAM Nawawi (tiga, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson Holdings, Lim Chern Yuan (kiri) di MITEC Kuala Lumpur. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CelcomDigi Berhad masih berbincang dengan kerajaan berhubung penyertaannya dalam rangkaian 5G Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Berhad, Datuk Idham Nawawi berkata, perbincangan dengan kerajaan masih diteruskan.

“Mungkin lebih baik jika kerajaan mengumumkannya kemudian. Saya berhadap rundingan itu boleh dimuktamadkan tahun ini.

“Apa yang penting ialah kami sedang membina rangkaian dan infrastruktur kelas pertama di Malaysia, dan kami menantikan pembangunan 5G ini,” katanya kepada pemberita, selepas memeterai perkongsian dengan Yinson Holdings Berhad untuk bekerjasama dalam perkhidmatan mengecas kenderaan elektrik, di sini.

Pada 10 September lalu,  Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, semua syarikat telekomunikasi di negara ini akan menandatangani perjanjian langganan saham (SSA) mengenai kepentingan ekuiti dalam rangkaian infrastruktur rangkaian 5G milik kerajaan Malaysia, Digital Nasional Berhad (DNB) dalam masa terdekat.

DNB telah diberi sasaran untuk menyampaikan 80 peratus liputan 5G bagi kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun.

Fahmi berkata, pada Julai bahawa rangkaian borong kedua akan dilancarkan seawal Januari 2024, sebaik sahaja DNB mencapai sasaran liputannya.

Pada Mei lalu, pengerusi Axiata Group Berhad, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, pihaknya berminat untuk menyertai rangkaian pemborong 5G kedua melalui 33.1 peratus milik CelcomDigi, dan mengharapkan lebih banyak perbincangan dengan kerajaan.

Selain CelcomDigi, syarikat telekomunikasi lain dalam perbincangan mengenai pegangan dalam DNB termasuk Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad, U Mobile Sdn. Bhd. dan YTL Communications Sdn. Bhd..

CelcomDigi kini merupakan pengendali rangkaian mudah alih terbesar Malaysia dengan 20.3 juta pelanggan pada suku keempat 2022, berikutan penggabungan antara Celcom Axiata Berhad dan Digi.Com Berhad yang telah selesai pada Disember tahun lepas.

Sementara itu, CelcomDigi) dan Yinson  memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam pembangunan perkhidmatan dan infrastruktur kenderaan elektrik (EV)  bagi memacu industri EV dan penggunaan tenaga hijau di negara ini.

Kerjasama itu membolehkan Yinson, syarikat infrastruktur dan teknologi tenaga global, memanfaatkan rangkaian 4G LTE dan 5G CelcomDigi untuk memperkasa sambungan pengecasan, rydeEV dan pemacu dalam ruang mobiliti.

Kedua-dua syarikat juga akan bekerjasama untuk meneroka penyelesaian baharu yang inovatif yang akan membolehkan pengguna kekal berhubung sambil mempunyai akses harian yang lebih mudah kepada perkhidmatan teknologi yang bersih dan dipertingkatkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×