PETALING JAYA: Pasukan petugas khas akan meneliti akta serta tatacara diguna pakai sebelum ini dalam menyiasat dakwaan salah laku membabitkan kes pendaftaran nombor klasik kenderaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos Taha berkata, daripada prosedur tersebut pihaknya akan melihat sama ada wujud ruang atau peluang penyelewengan.
Namun kata beliau, buat masa ini, sekretariat sedang memuktamadkan senarai keahlian pasukan petugas khas supaya lebih menyeluruh yang mana akan dianggotai oleh pakar-pakar pelbagai bidang bagi menambah baik tatacara pelaksanaan atau Terms Of Reference (TOR).
“Insya-Allah, hari ini boleh diangkat perkara ini kepada pihak pengurusan tertinggi untuk persetujuan sebelum surat pelantikan dikeluarkan.
“Surat pelantikan ini penting sebagai punca kuasa untuk ahli yang dilantik melaksanakan siasatan termasuk mendapatkan, meneliti, menyiasat dan menganalisa segala dokumen dan saksi,” kata beliau.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) yang baharu, telah dilantik untuk mengetuai Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan yang terkandung dalam dokumen “JPJandora Papers”.
Pasukan petugas khas tersebut akan dianggotai pakar-pakar bidang berkaitan termasuk dari Bahagian Darat dan Integriti Kementerian Pengangkutan (MOT); Unit Integriti JPJ serta pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pasukan tersebut juga bertanggungjawab mengemukakan pelbagai syor penambahbaikan bagi tujuan memperkasa ketelusan proses pendaftaran, pemberian dan pemilikan nombor-nombor pendaftaran klasik,” jelasnya.
Dalam hal ini, Unit Integriti JPJ akan bertindak sebagai sekretariat dalam memudah cara urusan siasatan termasuk menyediakan maklumat-maklumat yang diperlukan oleh pasukan petugas tersebut.
PLAT KLASIK
Sebelum ini, MOT menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyiasat dakwaan salah laku membabitkan pendaftaran nombor plat klasik kenderaan yang turut dianggotai Ketua Pengarah JPJ.
Isu tersebut tercetus susulan laporan Edisi Siasat mendakwa wujud skandal membabitkan pegawai JPJ apabila nombor plat klasik dihidupkan semula dan dijual dengan harga ratusan ribu ringgit.
Dakwaan tersebut turut disertakan dokumen 28 muka surat dikenali ‘JPJandora Papers’ yang antara lain memaparkan senarai nombor plat kenderaan klasik yang didakwa dikeluar, didaftarkan hak milik serta termasuk ada yang sudah dijual dengan harga amat lumayan sama ada kepada individu atau syarikat.
Dokumen itu turut memperincikan jumlah nombor yang disenarai berdasarkan tahun iaitu sejak 2007, selain mengikut negeri dengan Selangor, Perak dan Johor antara paling tinggi.
Pada 12 September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menyerahkan kepada MOT bagi menyiasat dakwaan salah laku membabitkan kes pendaftaran nombor klasik kenderaan.
Sekiranya wujud elemen rasuah dan salah laku barulah SPRM akan masuk campur dan menyiasat perkara itu. – UTUSAN











