SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengalu-alukan kolaborasi daripada pemain industri untuk menerokai potensi inovasi dan komersial produk hasil penyelidikan oleh pensyarah universiti itu.
Menurut Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan Perniagaan (BITCOM) universiti itu, Prof. Madya Ir. Dr. Sabirin Zoolfakar, pihaknya mengambil inisiatif mengumpulkan 10 hasil penyelidikan terbaik UiTM bagi dikomersialkan.
Kata beliau, hasil penyelidikan itu akan dipamer dan dinilai potensi komersial oleh panel industri yang dilantik iaitu Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Cradle Fund Sdn. Bhd.
“Produk hasil penyelidikan dan inovasi daripada pelbagai bidang ini mampu memberikan manfaat dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan memenuhi keperluan negara,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Biz.Spotlight 2023, baru-baru ini.
Program disempurnakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi, Prof.Ts. Dr. Norazah Abd. Rahman di Dewan Anjung Seri Budiman, UiTM.
Sabirin berkata, program itu merupakan acara yang julung kali diadakan di bawah pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi (TNCPI) dalam usaha untuk memartabatkan hasil penyelidikan dan inovasi UiTM menjadi universiti yang dikenali dunia (Global Renowned University 2025).
Jelas beliau, BITCOM bergerak aktif dalam memaksimumkan impak pengkomersialan di UiTM sejajar dengan inspirasi universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membudaya dan memperkasakan hasil penyelidikan universiti kepada satu aras yang lebih tinggi.
“Melalui program yang dirangka oleh BITCOM, lima tunjang utama dalam ekosistem pengkomersialan iaitu pendanaan, bakat, inovasi, dasar dan ekosistem pasaran digerakkan seiring bagi memenuhi matlamat utama UiTM dalam pengkomersialan iaitu meningkatkan produk yang dikomersialkan sama ada melalui penubuhan syarikat pemula atau terbitan universiti atau melalui pelesenan dengan pihak industri,” katanya.
Sementara itu Norazah berkata, Biz.Spotlight 2023 adalah inisiatif universiti dalam meningkatkan kerjasama antara UiTM dengan industri pengkomersialan antaranya MTDC, Cradle Fund, Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).
Jelasnya, selain pameran produk-produk inovatif, acara itu turut menyaksikan pelbagai demonstrasi hasil penyelidikan dari cawangan UiTM seluruh negara.
“Langkah ini bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk lebih melihat kepakaran dan inovasi yang dihasilkan oleh pakar-pakar UiTM,”ujarnya.
Antara produk yang dibangun dan telah dikomersialkan ialah kopi tenaga UnaCoffee, minyak wangi Dr. Azri’s Perfume, Kit Bantuan Pengajaran & Pembelajaran Mikro Organisma dan penyahkuman Unizzol. – UTUSAN










