Kreativiti asimilasi boleh meningkatkan integrasi nasional - Utusan Malaysia

Kreativiti asimilasi boleh meningkatkan integrasi nasional

MENTERI Perpaduan dan Integrasi Nasional, Tan Sri Joseph Kurup (tengah) meraikan belia Pulau Tiga, Kampung Gajah dan Sabah dalam program Komuniti Ekonomi Integrasi Nasional (KENAL) di Kompleks Desa Warisan iGROW, Kampung Gajah, Perak pada 2016. – IHSAN PENULIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA baru sahaja menyambut Hari Malaysia yang ke-60 pada 16 September lalu. Sambutan ini adalah satu usaha meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia untuk hidup dengan muhibah dan harmoni hasil muafakat pemimpin terdahulu untuk bersetuju membentuk Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak).

Dalam suasana geopolitik, ekonomi di dalam dan luar negara yang semakin rencam, malah kadangkala mencemaskan, usaha meningkatkan kesedaran dan menggerakkan proses asimilasi antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah sangat penting untuk dijadikan sebagai salah satu gerakan agenda utama negara.

Alhamdulillah, perjalanan hidup saya banyak melibatkan diri saya dalam aktiviti bersifat asimilasi tiga wilayah ini, seawal usia saya 16 tahun. Ini bermula apabila saya terpilih sebagai tokoh pelajar sekolah dari seluruh negara yang menyertai program Integrasi Pelajar Nasional di Ayer Keroh, Melaka pada tahun 1988 yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran dan beberapa agensi berkaitan integrasi nasional ketika itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Itulah kali pertama saya, mengenali orang Sabah dan Sarawak serta penyatuan kami dengan pelajar pelbagai kaum dan etnik dari seluruh Malaysia. Hasil asimilasi selama dua minggu, saya berazam dengan diri saya untuk meningkat perpaduan di Malaysia pada masa depan.

Syukur kepada Allah SWT, impian saya dimakbul-Nya dengan pembabitan saya dalam perniagaan sosial yang berteraskan pendidikan, pertanian, keusahawanan dan pembangunan wilayah yang membolehkan saya memainkan peranan aktif untuk mengisi makna sebenar dalam mengeratkan perpaduan dan integrasi nasional.

Pada 2008, ketika diamanahkan untuk melatih 2,000 pelatih kemahiran pertanian, industri makanan dan perladangan, 60 peratus pelatih dipilih dalam kalangan belia Sabah dan Sarawak sehingga kami terpaksa membuka cawangan di Keningau, Sabah.

Namun, separuh pelajar juga diterbangkan ke Semenanjung untuk tinggal bersama masyarakat di sini, bukan sahaja mengikuti latihan kemahiran mengikut sistem, malah mengadakan pelbagai aktiviti yang menggabungkan budaya masyarakat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Tiap-tiap tahun perayaan Hari Gawai kami raikan dengan meriah di sebuah pasar raya terkemuka di Melaka sehingga Ketua Menteri ketika itu, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam menganggap Sabah dan Melaka amat bersaudara atas perkongsian ekonomi dan budaya yang benar-benar berlaku.

Walaupun serampang banyak mata berjaya menghasilkan keberhasilannya, program seumpama itu gagal diteruskan kerana banyak pihak yang memegang dasar tidak dapat melihat kepentingannya dalam perspektif dan jiwa yang besar.

Namun, hasil kejayaan itu, beberapa pemimpin Sabah dan Sarawak melihat keupayaan saya dengan mencipta pelbagai kreativiti lain yang bersifat asimilasi antara Sabah dan Sarawak yang dapat dirasai nikmatnya untuk jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

PERKONGSIAN SEBENAR

Sejak 15 tahun dulu, saya telah menjalankan kajian bersama rakan-rakan terutama pegawai-pegawai yang dedikasi di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) tentang kehendak masyarakat tiga wilayah ini dalam mengolah perpaduan dan integrasi nasional.

Antara rumusannya ialah masyarakat kita mahukan perpaduan yang lebih erat turut diterjemahkan dengan nikmat perkongsian sebenar seperti berkongsi ekonomi, peluang pendidikan dan pembangunan sebenar dalam proses asimilasi.

Akhirnya, hasil dapatan tersebut, banyak usaha yang saya cuba lakukan untuk berkongsi nikmat ekonomi dan pembangunan itu.

Antaranya, melalui konsortium pusat latihan kemahiran bumiputera, sebahagian kek peruntukan dicurahkan terus kepada pusat-pusat latihan dalam perkongsian syarikat dan sebagainya antara pusat latihan Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kesannya, masyarakat Sabah dan Sarawak dapat merasai perkongsian rezeki dengan kami.

Paling menarik ialah proses simulasi dalam program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) My Kampung, My Future yang membawa perkongsian melaksanakan program tersebut di Merotai, Tawau, Sabah bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu.

Sebagai timbal balas, selepas kejayaan di Sabah, program itu berjaya menghimpunkan lebih 200 belia Sabah untuk belajar selama dua tahun di Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak bagi mengikuti program Sijil Kemahiran Malaysia pertanian di sana.

Kampung tersebut meriah sebagai Kampung Malaysia kerana setiap kali aktiviti kesenian dipamerkan, pasti akan turut dipersembahkan tarian Dabus, Joget, Sumazau dan Magunatib.

Setiap tahun, pasti akan ada rombongan Ketua Menteri dan menteri dari Sabah untuk bersama masyarakat di Kampung Gajah meraikan budaya dan sosioekonomi bersama.

Sampai ke satu tahap, orang Sabah dan Sarawak bertemu jodoh dengan orang Semenanjung. Malah, arwah kedua ibu bapa saya juga dijaga sepenuhnya oleh anak-anak Sabah hingga ke akhir hayat mereka.

Kemuncaknya pula ialah program Komuniti Ekonomi Integrasi Nasional (KENAL) yang diilhamkan bersama oleh Ketua Pengarah JPNIN suatu masa dulu, Datuk Gandesan Letchumanan yang membawa warga Semenanjung berkongsi pengalaman ekonomi dengan masyarakat Lawas, Sarawak.

Hasil kreativiti cara baru dalam asimilasi inilah menghasilkan persaudaraan yang kuat dalam diri saya, keluarga dan masyarakat yang pernah melalui asimilasi tersebut.

Kisahnya banyak terpapar dalam media sosial semudah menaip cerita di Google. Hari ini, kami sentiasa merindui antara satu sama lain dan masih berbincang untuk berkongsi pembangunan bersama.

Walaupun banyak yang boleh diceritakan lagi tetapi rumusannya ialah, cara bekerja kita dalam meningkatkan integrasi nasional ini perlu dirombak dan dilaksanakan segera dengan kreativiti baharu kerana ancaman sentimen politik, ekonomi dan geopolitik dunia boleh menggugat perpaduan dan integrasi nasional kita. – UTUSAN

PENULIS ialah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGROW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×