KUANTAN: Kerajaan perlu menghapuskan hampir 100,000 kontraktor warga asing di negara ini bagi menjaga kepentingan rakyat tempatan selepas memutuskan tidak akan menghentikan pengeluaran lesen baharu walaupun terdapat lambakan kontraktor kelas G1 hingga G7 ketika ini.
Kontraktor asing terlibat yang kebanyakannya warga Indonesia dan Bangladesh tidak berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) manakala jumlah keseluruhan kontraktor tempatan yang berdaftar dengan lembaga itu seramai 130,183 orang.
Daripada jumlah berkenaan, 65,136 merupakan kontraktor G1, 22,293 (G2) dan 17,031 (G3) manakala selebihnya kontraktor G4 hingga G7.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) Pahang, Norhamila Mohd. Datar berkata, jumlah 130,183 orang kontraktor terbabit khususnya kelas F ataupun G1 akan terus meningkat dari semasa ke semasa.
Katanya, tiada masalah jika kerajaan tidak mahu menghentikan pengeluaran lesen baharu, tetapi perlu menghapuskan kontraktor warga asing yang merugikan Malaysia apabila membawa keluar wang negara hampir RM80 bilion setahun.
“Ini antara masalah utama dihadapi golongan kontraktor khususnya kelas F iaitu saingan kontraktor warga asing yang hakikatnya sudah pun membunuh kontraktor kecil tempatan.
“Kerja-kerja ubah suai rumah banyak dibolot kontraktor warga asing yang tidak ditauliah sebarang lesen atau sijil perakuan CIDB. Isu kontraktor warga asing ini seharusnya diselesaikan dahulu oleh kerajaan, bukan terus menambah permohonan lesen baru,” katanya di sini semalam.
Khamis lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, kementerian itu tidak akan menghentikan pengeluaran lesen kepada kontraktor baharu walaupun terdapat lambakan kontraktor G1 hingga G7 ketika ini.
Nanta Linggi berkata, kementerian itu mengamalkan prinsip demokrasi dalam memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mendapatkan lesen kontraktor.
Mengulas lanjut, Norhamila meminta kerajaan supaya menguatkuasakan syarat supaya kerja-kerja ubah suai rumah diberi keutamaan kepada kontraktor berdaftar di bawah CIDB.
“Langkah ini perlu bagi mengekang individu yang tidak berkelayakan membuat kerja-kerja penambahan dan ubah suai rumah dan diberi kepada kontraktor berkelayakan,” katanya.
Selain itu beliau berkata, kerajaan juga perlu menambah jumlah projek ditawarkan supaya ia selari dengan pertambahan kontraktor.
Seorang kontraktor kelas F, Sheikh Mohd. Azrul berkata, jumlah kontraktor warga asing semakin meningkat dan memonopoli sektor pembinaan dan kerja-kerja baik pulih rumah kerana menawarkan harga lebih rendah berbanding kontraktor berdaftar. -UTUSAN











