PERTAMA kali bertentang mata dengan gadis berusia 26 tahun ini, sukar untuk saya mempercayai yang dirinya merupakan insan istimewa.
Di mata saya, beliau nampak sempurna, seolah-olah tiada kekurangannya.
Sewaktu sesi temubual bersama Seri berlangsung baru-baru ini beliau kelihatan manis dalam persalinan kaftan digandingkan dengan pario batik biru biji kundang.
Jelapang wajahnya turut disolek sendiri hasil sentuhan jemarinya.
Kata Nur Amiratul Farahin Ab. Rahman, situasi first impression sebegitu sudah biasa dilaluinya. Malah ramai terkejut apabila mengetahui dirinya berstatus orang kurang upaya (OKU) pendengaran.
“Orang nampak saya normal, tetapi apabila bercakap atau bertanya, saya tidak memberi respon sehingga dianggap sebagai sombong.
“Setelah diterangkan saya ada masalah pendengaran, baru mereka faham dan cuba berkomunikasi dengan saya melalui tulisan di kertas mahupun telefon,” kongsinya.
Sesi temubual kami berlangsung menggunakan kaedah sama iaitu secara bertulis di aplikasi WhatsApp kerana Nur Amiratul Farahin tidak diiringi jurubahasa isyarat.
Bagi yang belum mengenali namanya, beliau merupakan antara pelukis berbakat negara dan telah mengharumkan Malaysia dalam pertandingan kemahiran OKU peringkat antarabangsa, Abilympics di Perancis, Mac lalu.
Pada pertandingan itu, karyanya bertajuk The Anger of Mother Earth berjaya merangkul naib juara kategori lukisan dan barangan terbuang.
Menariknya, itulah pertama kali beliau menyertai acara berprestij disertai 400 peserta dari 27 negara seluruh dunia.
“Pada pertandingan itu, saya mengangkat isu global iaitu pencemaran dengan menampilkan potret wanita yang marah kerana bumi dipenuhi sampah-sarap.
“Bersaing dengan peserta dari luar negara berbeza cabarannya dan saya bersyukur kerana dapat membawa pulang pingat untuk Malaysia.
“Platform ini amat membantu saya dalam menonjolkan lagi potensi diri saya,” katanya.
LIMA TAHUN MULA MELUKIS
Hingga kini ratusan lukisan sudah dihasilkannya dengan mengangkat tema imaginasi dan keadaan sekeliling.
Selain dirinya, abangnya juga merupakan OKU berstatus pendengaran, turut memiliki kelebihan sama.

Daripada sekadar hobi, akhirnya bakat dianugerahkan itu dimanfaatkan sebagai kerjaya dalam meraih sumber pendapatan.
Nur Amiratul Farahin berkata, mula melukis seawal usia lima tahun, namun penglibatan secara serius adalah ketika bersekolah di tahun tiga.
“Sejak kecil, saya suka meniru gambar-gambar yang dilihat dan minat itu terbawa-bawa hingga ke sekolah apabila sering memasuki pelbagai pertandingan lukisan atau seni.
“Terlalu banyak lukisan yang dihasilkan sampai tidak terkira jumlahnya dengan yang paling mahal dijual setakat ini adalah RM3,000,” katanya.
Menurut pelukis di bawah pertubuhan bukan kerajaan, Johor Empowerment of Intellectual Women Association (Jeiwa) itu, rutin kerjanya bermula dari pukul 10 pagi hingga 7 malam setiap hari.
Media sosial menjadi rujukan utamanya dalam mencari idea dan sumber inspirasi.
Setiap karya seni dihasilkan, mengambil masa antara sehari ke empat hari untuk disiapkan, bergantung kepada saiz.
Di sebalik jemari-jemarinya yang cekap menari di atas kanvas, gadis OKU ini mengakui berdepan cabaran untuk berkarya jika menggunakan bahan-bahan terbuang.
Katanya, idea untuk memanfaatkan barangan tersebut dalam karya seni tercetus Disember lalu.
“Lukisan paling susah untuk dihasilkan adalah yang melibatkan barangan kitar semula seperti plastik bungkusan, besi serta penutup botol atau bekas.
“Walaupun ilmu itu dipelajari sendiri tanpa bimbingan guru atau pengajar, saya rasa seronok dapat mencuba benda baharu,” katanya.
Lulusan Sijil Kemahiran Rekaan Fesyen dan Pakaian, Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) ini turut berhasrat untuk menghasilkan lebih banyak potret wanita di masa depan.
“Kebelakangan ini, karya dihasilkan adalah wanita dan saya tidak menolak kemungkinan untuk melukis wajah tokoh-tokoh wanita yang berjasa pada negara,” katanya.
PAMERAN MERDEKA
Gadis OKU ini boleh dianggap bertuah kerana berpeluang mengadakan pameran seni solo pertamanya sempena Hari Kebangsaan ke-66.
Pameran secara mini itu berlangsung selama sebulan di pusat beli-belah Intermark di Kuala Lumpur sehingga esok.
Kesemua empat karya dipamerkan itu bertajuk Kuchibeni Koi, Women of Africa, Apple & Pumpkin dan Cats Hari Kebangsan Malaysia.
“Setiap pelukis pasti mengimpikan untuk mengadakan pameran dan saya tidak sangka diberikan peluang keemasan untuk memperkenalkan hasil karya kepada masyarakat.
“Lebih istimewa kerana pameran itu sempena bulan kemerdekaan, sekali gus meningkatkan lagi motivasi dan semangat saya untuk terus berkarya sampai bila-bila,” ujarnya.
OKU MAMPU BERDIKARI
Berpegang kepada prinsip percaya pada diri, Nur Amiratul Farahin menepis stereotaip kononnya golongan OKU tidak mampu berdikari.
Katanya, kekurangan bukan alasan untuk insan sepertinya menyerah kalah, sebaliknya perlu sentiasa bersemangat dalam menonjolkan potensi diri.
“Paling mustahak kena percaya pada diri, buktikan yang kita juga boleh berjaya walaupun serba kekurangan.
“Jika ada minat dan kemampuan, OKU juga boleh melakukan tugasan dengan baik seperti orang biasa,” katanya.
Ujar Nur Amiratul Farahin, penerimaan masyarakat terhadap golongan OKU semakin baik walaupun ada segelintir yang masih memandang negatif, menghina dan merendah-rendahkan mereka.
Tegasnya, setiap orang mempunyai kelebihan serta kekurangan tersendiri, dan perbezaan itu seharusnya diraikan.
Beliau turut menafikan kononnya mudah diterima dalam masyarakat kerana memiliki wajah dan berpenampilan menarik.
“Tidak juga, mungkin saya diterima kerana bakat. Bagi saya setiap orang ada tarikan tersendiri dan bukan kerana cantik atau sebagainya.
“Saya pun tidak terlepas ditegur boss jika buat salah, sama seperti rakan sekerja lain dan tiada layanan istimewa hanya kerana berstatus OKU,” jelasnya.
Mengenai penampilannya yang bergaya di samping gemar bersolek, gadis kecil molek ini mengakui, selain melukis, bersolek dan menjahit juga antara hobinya di masa lapang.
“Saya ada mengikuti kursus jahitan dan teringin untuk menghasilkan rekaan baju, di masa depan,” katanya.










