PETALING JAYA: Pelaksanaan subsidi bersasar bukan satu langkah populis namun perkara itu penting dan perlu dilaksanakan kerana kerajaan kini dibebani dengan kos subsidi berjumlah RM64 bilion.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (PPPM), Sukhdave Singh berkata, dalam masa yang sama, kerajaan perlu membantu golongan berpendapatan rendah manakala golongan kelas pertengahan perlu juga diambil kira dalam memastikan agihan subsidi yang adil dan saksama.
“Adalah menjadi kritikal bagi kerajaan untuk meringankan bebanan kewangan subsidi yang dilaksanakan secara pukal.
“Berbilion ringgit Malaysia dibelanjakan setiap tahun dan sudah pasti sekiranya ini diteruskan akan memberi impak negatif terhadap aspek kewangan kerajaan terutama perbelanjaan lebih penting seperti kesihatan dan pendidikan selain perbelanjaan pembangunan.
“Kami berharap status kewangan golongan sasar tidak berubah dengan pelaksanaan subsidi bersasar dan diharapkan agar ketirisan subsidi dapat diatasi atau kerajaan akan terus kerugian berbilion ringgit,” katanya ketika dihubungi.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 berkata, kerajaan bertekad menambah baik mekanisme penyampaian subsidi bersasar sebagai satu daripada anjakan utama Ekonomi Madani melalui sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilaksanakan pada Januari depan.
Dalam pada itu, Bendahari Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, subsidi bersasar seharusnya dilaksanakan lebih awal untuk kepentingan rakyat.
“Subsidi kita banyak diguna pakai oleh warga asing contohnya minyak masak peket, minyak petrol dan beberapa barangan bersubsidi yang lain sehingga berlakunya penyeludupan barang.
“Saya berharap tiada lagi rakyat yang terkesan dengan subsidi bersasar apabila ia dilaksanakan nanti dan harap sistem ini boleh dijalankan dengan usaha dan kerjasama yang baik.
“Saya juga berharap sistem PADU tiada kelompongan dan penipuan data oleh rakyat apabila ia dilaksanakan nanti dan rakyat Malaysia boleh menerimanya dengan baik,” katanya.
Beliau bagaimanapun bimbang harga barangan bersubsidi meningkat selepas pelaksanaan subsidi bersasar dan berlakunya kes penyeludupan barang oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. – UTUSAN








